KAWASAKI 2018 Kepuasan Pelanggan Diutamakan
Dengan cogankata 'True Commitment’, Kawasaki bersedia untuk melahirkan jentera-jentera terkini yang direka dengan penuh tanggungjawab, komitmen dan kecintaan mereka pada dunia motosikal. Itu yang kelihatan di Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA pada awal November lalu ketika pelancaran model-model terbaru Kawasaki kepada para media.
Untuk tahun 2018, terdapat beberapa model baru yang semestinya menarik lebih ramai peminat motosikal di seluruh dunia untuk mendekatinya. Kawasaki dengan penuh bangga memperkenalkan Ninja 400, Ninja H2 SX, Ninja ZX-10R SE, Z900 RS dan Z900 RS Cafe.
NINJA 400
Disempurnakan dengan enjin dua silinder kembar parallel, bersesaran 399cc yang menawarkan kuasa maksimum 33.4kW pada 10,000rpm dan tork maksimum 38Nm pada 8,000rpm. Enjin ini juga direka sepenuhnya agar lebih ringan walaupun berisipadu tinggi. Dari segi rupanya kita sudah tahu bahawa ia diasaskan dari model terpantas, Ninja H2 yang dibuktikan menerusi rekaan Chin-Spoilers yang terletak di fairing hadapan dan juga rekabentuk bahagian belakang. Selain itu, kerangka jenis trellis dan lengan ayun model ini juga berinspirasikan model H2 yang membuatkan Ninja ini hanya seberat 168kg.
Model ini juga dilengkapi dengan sistem Assist & Slipper Clutch terbaru untuk tunggangan lebih lancar dan selamat. Untuk menjamin keselamatan dan kepuasan para pemiliknya kelak, Ninja 400 dipermantapkan dengan brek hadapan berdiameter 310mm (saiz yang sama dengan model ZZR1400) manakala kuasa membrek di belakang datangnya dari brek cakera jenis berpetak saiz 220mm. Model baru ini juga didatangkan dengan sistem ABS.
Dengan pelana setinggi 785mm sahaja, Kawasaki ini sesuai digunakan oleh semua golongan penunggang motosikal tidak kira lelaki mahu pun wanita. Posisi menunggangnya cukup relaks – diperolehi menerusi bar hendal yang lebar dan tinggi serta tempat pemijak yang sedikit ke hadapan. Selain keselesaan, setiap penunggang akan dapati Ninja ini mudah untuk dikendalikan.
Antara ciri-ciri menarik lain yang dimiliki oleh model ini adalah lampu utama jenis LED, panel meter LCD moden, ekzos lebih garang dan semestinya rekacorak yang benar-benar menawan.
NINJA H2 SX
Tiga tahun selepas menggemparkan dunia dengan menerusi model supercharged, Ninja H2 dan Ninja H2R, Kawasaki kini memperkenalkan pula Ninja H2 SX. Sebuah jentera 998cc yang berkuasa 200ps Supercharged dan kini ia bercipta untuk kategori Sport Tourer. Berbanding H2 dan H2R yang direka khusus untuk prestasi unggul, Ninja H2 SX ini pula menggunakan enjin Supercharged yang ditala semula menjadi lebih linear, mudah, jimat petrol dan sesuai untuk tunggangan harian di jalanan biasa.
Untuk model baru ini, beberapa perubahan telah dilakukan pada enjinnya seperti sistem kemasukan yang direka semula, manakala omboh, kepala silinder, silinder, aci engkol, badan pendikit dan sistem ekzos direka serba baru. Kita akan nikmati Ninja H2 SX ini lebih mudah, mesra penunggang dan senyap.
Untuk lebih stabil ketika memecut dengan membawa kotak barang, kerangkanya telah diperkukuhkan manakala tapak rodanya juga dipanjangkan. Posisi menunggang H2 SX ini tidak seperti ZZR1400 atau pun Z1000SX, ia lebih relaks dan selesa yang ditawarkan terutamanya pada bahagian siku dan lutut. Ini membuatkan Kawasaki ini boleh ditunggang seharian di laluan luas, desa dan kawasan berbukit. Untuk sinaran lebih jelas dan terang, kesemua lampu yang terdapat pada model ini menggunakan LED termasuklah lampu nombor pendaftaran. H2 juga merupakan model sport tourer pertama Kawasaki dilengkapi dengan Electronic Cruise Control. Pemiliknya juga boleh menala kuasa hantaran mengikut kesesuaian dengan adanya tiga peringkat Power Mode iaitu Full, Middle, Low.
Turut dipadatkan pada H2 SX ialah Kawasaki Cornering Management Function (KCMF) yang menggunakan perisian terkini dan maklum balas daripada unit Bosch IMU untuk tujuan pemantauan parameter enjin dan casis ketika di dalam selekoh. Dengan adanya sistem ini, kekuatan brek dan enjin dapat disempurnakan agar jentera ini berada di laluannya dengan selamat. Antara sistem elektronik lain yang dilengkapkan pada model ini ialah Kawasaki Traction Control (KTRC), Kawasaki Launch Control Mode (untuk model SE), Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS) dan Kawasaki Quick Shifter (KSQ).
NINJA ZX-10R SE
Dengan kejayaan Jonathan Rea mengungguli Kejuaraan WSBK 2017, Kawasaki dengan penuh teruja melengkapkan model terbaru, Ninja ZX10R SE dengan sistem saspensi elektronik
moden atau Kawasaki Electronic Control Suspension (KECS). Tidak kira di jalanan biasa mahu pun di litar, redaman sempurna yang dimiliki oleh saspensi ini mampu membuatkan kita terlupa bahawa kita sedang menunggang sebuah jentera perlumbaan. KECS menawarkan kelebihan untuk pengendalian sempurna di pelbagai jenis jalan serta redaman yang kuat untuk kegunaan di litar (mod tunggangan: Road dan Track.)
Menerusi teknologi moden ini, informasi terkini kelajuan dapat diukur hanya dalam milisaat. Terdapat sensor pada penyerap hentak hadapan dan belakang yang akan memberikan input kepada KECS setiap 1 milisaat dan secara ringkasnya, sistem saspensi Ninja ini terus berinteraksi hampir secara langsung untuk melakukan penyerapan dengan tepat dan selamat.
Perubahan lain yang dilakukan pada model ini ialah rim aloi bertempa 7-jejari Marchesini yang ringan dan bertegaran tinggi serta Kawasaki Quick Shifter (KQS) dua hala. ZX10R SE ini didatangkan dalam warna Metallic Flat Spark Black / Metallic Matte Graphite Gray.
Z900 RS dan Z900 RS Cafe
Z900 RS mula diperkenalkan pada umum di Tokyo Motorshow dan serta merta ia menjadi antara model yang paling hangat dikatakan. Z900 RS memiliki tubuh badan yang diasaskan daripada model Z1 dilancarkan pada tahun 1972 – retro dan cukup memikat. Model ini menawarkan kerangka trellis yang ringan manakala geometri casis dibuat untuk pengendalian yang mudah. Demi menjadikannya tampak retro, tangkinya berbentuk teardrop manakala bahagian belakangnya turut dibuat seperti Z1.
Model ini dikuasakan oleh enjin 948cc, empat silinder dengan sistem penyejuk jenis cecair/minyak. Fork hadapannya jenis teleskopik manakala penyerapan di belakang dibantu oleh lengan ayun horizontal yang cukup mantap.
Untuk lebih menarik, lampu hadapannya berbentuk bulat, lampu belakangnya pula jenis LED yang dibuat berbentuk dots manakala panel meternya berpaparan digital turut dibuat dengan gaya analog. Tema retro ini diteruskan melalui penciptaan rim jenis jejari – ringan dan nampak klasik. Sebagai tambahan kepada model Z900 RS, model gaya Cafe Racer turut diperkenal di EICMA. Model ini menawarkan fairing hadapan baru (ala cafe racer), pelana baru lebih unik dan semestinya rekacorak grafik dan warna tersendiri.
Walaupun penuh gaya retro, keduadua model ini disempurnakan dengan beberapa sistem elektronik terkini seperti KTRC (dua mod) dan Assist & Slipper Clutch untuk tunggangan lebih selamat di pelbagai jenis dan keadaan jalan raya. Z900 RS dan Z900 RS Cafe didatangkan dengan sepasang brek cakera 300mm (depan) dan cakera 250mm di belakang.
Menurut pihak Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd (KMSB), model-model ini akan berada di pasaran negara tidak lama lagi. Oleh itu, tarik nafas... lepas... dan tunggulah kemunculan dengan penuh kesabaran. RR
Popular