Benelli Imperiale 400 Masuk Pasaran Negara
Mforce Bike Holdings Sdn Bhd selaku pengedar jenama model Itali ini dengan bangganya telah memperkenalkan model klasik terbarunya iaitu Benelli Imperiale 400. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Operasi Mforce Bike Holdings Sdn Bhd, En. Asri Ahmad bersama dengan artis tanah air iaitu Black Hanifah di litar Antarabangsa Sepang pada 2 November lalu.
Benelli Imperiale 400 dikuasakan oleh enjin bersesaran 373.5cc, empat lejang, silinder tunggal dengan sistem penyejuk udara yang mempunyai kuasa maksimum 15.5kW (20.4hp) pada 5,500rpm dan tork 28Nm pada 4,500rpm. Jentera ini juga turut didatangkan dengan sistem suntikan bahan api elektronik yang mematuhi piawaian Euro 4. Kuasa enjin pula disalurkan kepada roda belakang menggunakan sistem rantai dan dipadankan dengan transmisi 5-kelajuan.
Model ini sangat mudah dikendalikan kerana ianya hadir dengan kerangka jenis tiub dan plat keluli. Saspensi hadapan menggunakan fork teleskopik dengan jarak 121mm, manakala di bahagian belakang terdapat dua penyerap hentak dengan jarak 55.5mm yang menjamin keselesaan buat penunggang dan pembonceng.
Imperiale 400 nampak lebih menarik dengan rim aloi aluminium yang disaluti tayar bersaiz 110/90-19 (hadapan) dan belakang bersaiz 130/80-18. Jentera ini juga dilengkapi sistem ABS serta brek cakera tunggal 300mm di hadapan, manakala belakang adalah cakera tunggal 240mm.
Antara ciri-ciri menarik ditawarkan adalah lampu hadapan berbentuk bulat dengan kemasan bingkai berwarna separa krom, lampu belakang yang moden, panel meter analog serta separa digital, tangki bahan api 12 liter, berat 197kg, jarak kelegaan bumi 165mm, cermin sisi dan ekzos bewarna krom.
Imperiale 400 hadir dengan tiga warna bergaya iaitu merah, hitam dan kelabu yang ditawarkan pada harga RM15,888 (tidak termasuk insurans) akan berada di pasaran negara pada Februari 2019. Model ini turut didatangkan dengan waranti selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu). RR
Popular