Benelli Leoncino 800 & Leoncino 800 Trail Kagumkan Pencinta Motosikal di EICMA
Benelli merupakan jenama motosikal antara yang paling tua di dunia atau lebih tepat sebuah jenama lagenda yang telah terpahat di hati pencinta motosikal sejak pada tahun 1911. Setiap penciptaannya sentiasa mengutamakan kualiti, elegan, teknologi terkini yang memenuhi kehendak para pengguna jentera dua roda di seluruh dunia. Untuk terus kukuh di dalam pasaran motosikal di peringkat global, Benelli telah melancarkan Leoncino 800 dan Leoncino 800 Trail di Pameran Motosikal Antarabangsa Milan (EICMA) pada awal November yang lalu. Ini membuktikan kesungguhan syarikat ini memasuki segmen kapasiti enjin lebih tinggi berbanding model sedia ada iaitu Leoncino 500 dan 250.
Kedua-dua model baru ini bersesaran 754cc, empat lejang, DOHC, silinder kembar dengan sistem penyejuk cecair yang menawarkan kuasa setinggi 81.6hp pada 8,000rpm dan tork 67Nm pada 6,500rpm. Model-model ini juga didatangkan dengan kerangka trellis dengan plat keluli untuk pengendalian yang mudah dalam apa jua keadaan tidak kira sama ada penunggang itu baru atau yang sudah berpengalaman. Benelli ini sememangnya sesuai untuk semua penunggang.
Model baru ini menarik minat ramai menerusi lampu utama jenis LED dan panel meter TFT berteknologi tinggi yang memastikan perjalanan lebih lancar dan selamat. Kedua-dua versi turut berkongsikan fork hadapan Marzocchi jenis terbalik 50mm dan lengan ayun dengan penyerap hentak tunggal boleh laras. Demi keselamatan penunggang, Benelli telah melengkapkan model ini dengan sistem brek jenis Brembo (320mm di depan dan 260mm di belakang).
Ya... model 800 Trail adalah pilihan buat mereka yang sukakan pengembaraan di pelbagai jenis laluan tidak kira biasa mahupun yang mencabar. Antara perbezaan di antara model biasa dengan Leoncino 800 Trail ialah tinggi pelana 818mm (model biasa 800mm), kedudukan sistem ekzos versi trail lebih tinggi dan saiz tayar iaitu 120/70 19 (depan) dan 170/60 17 di belakang jenis Pirelli Scorpion Rally STR (model biasa 120/70-17 di depan dan 180/55-17 di belakang.)
Memang mengancam habis model ini. Menurut Mforce Bike Holdings Sdn Bhd selaku pengedar rasmi Benelli di Malaysia, model ini akan berada di pasaran negara pada tahun hadapan. Kena sabar menunggu ya semua!
Benelli ternyata memiliki ruang pameran antara yang terbesar di EICMA. Susun atur yang kemas membolehkan setiap pengunjung dapat duduk untuk merasai sendiri posisi menunggang, keselesaan pelananya dan menilai kualiti pembikinan dari dekat. Setiap ruang digunakan dengan bijak untuk mempamerkan pelbagai jenis model yang berada di pasaran seperti Leoncino 500, Leoncino 250, TRK 502, TRK 502X, TRK 251, 251 S, BN 251, BN 125, 302 R, 302 S, Tornado Naked T 125, Tornado Naked T 600, 752 S, 502 C dan Imperiale 400. RR
Popular