Benelli Tornado 400 Bakal Dilancarkan di Eropah
Benelli Tornado 400 didedahkan julung kalinya di China pada April 2023 (dengan nama Tornado 402) dan model yang siap telah dilancarkan di EICMA 2023. Jenama Benelli yang berada di bawah naungan Qianjiang Motors itu (yang turut bernaung untuk jenama-jenama Keeway, QJ Motor dan MBP) dijangka akan melancarkan model tersebut di benua Eropah pada pertengahan tahun ini.
Model ini menggunakan enjin dwi-silinder, DOHC, 399cc dengan penyejukan cecair yang lulus piawaian Euro 5. Ia menghasilkan 47.6hp dan kuasa dihantar melalui sebuah kotak gear enam kelajuan.
Enjin ini dipasang pada sebuah kerangka tiub keluli. Fork depan berukuran 37mm diameter, jenis terbalik. Suspensi belakang terdiri daripada sebuah monoshok dan lengan ayun sebelah yang amat menarik. Sistem brek depan terdiri daripada dua kaliper Nissin dan dua cakera brek.
Ciri-ciri lain termasuk lampu-lampu LED, skrin TFT 5-inci yang berwarna dengan pautan Bluetooth, port pengecas USB, serta sistem pengawasan tekanan angin tayar.
Berat basahnya dengan tangki petrol yang penuh (14.8 liter) dikatan sekitar 172kg sahaja.
Adakah MForce akan membawa model Benelli Tornado 400 ini ke Malaysia?