Fantic Motor Tampilkan Motard-EV Prototaip
Selepas menempa kejayaan dalam perlumbaan lasak Rimba Raid tahun lalu menerusi Fantic XEF 250 Trail, jenama dari Itali ini semakin mendapat perhatian di kalangan para peminat motocross di Malaysia. Pada pameran motosikal EICMA yang lalu, Fantic Motor memperkenalkan Motard-EV Prototaip yang dikatakan memiliki prestasi enjin yang setanding dengan jentera 50cc.
Motard-EV Prototaip ini menghasilkan tork puncak setinggi 95 Nm dan jarak lebih daripada 130 km (seperti yang dinyatakan oleh Fantic). Dengan keberatan yang hanya 95kg, model ini seharusnya mudah untuk dikendalikan oleh sesiapa sahaja.
Jentera prototaip ini juga dilengkapkan dengan lampu-lampu LED, fork hadapan teleskopik, brek-brek cakera berkualiti tinggi, pelindung enjin, rim jenis berjejari dan kerangka bertegaran tinggi. Syarikat itu berhasrat untuk menunjukkan kepada para penunggang muda khususnya untuk menerima ketibaan jentera lasak dengan enjin yang lebih bersih. RR