SWM Motorcycles Perkenalkan Stormbreaker V 1200
Itali: Mungkin ramai yang tidak begitu mengenali motosikal berjenama SW khususnya di Malaysia. SWM adalah singkatan untuk Sironi Vergani Vimercate Milano - merupakan syarikat pengeluaran motosikal Itali yang diasaskan pada tahun 1971 oleh Piero Sironi dan Fausto Vergani. SWM kini dimiliki oleh Shineray Group dari China.
SWM memiliki kepelbagaian jenis motosikal dari segmen Enduro, Motard, Kembara (Travel), Jalanan (Naked), Scrambler, Custom, Sidecar dan jentera elektrik. Antara model yang mendapat perhatian di pameran motosikal EICMA November lalu iaitu Stormbreaker V 1200.
Model kustom ini dilengkapi dengan enjin V-kembar, sistem sejukan udara, berpiawaian Euro 5 yang berkuasa 61 hp (45 kW). Dikatakan Stormbreaker mempunyai tenaga yang hampir sama dengan model Sportster yang berada di pasaran Eropah (67hp). SWM Stormbreaker memiliki kotak gear 5-kelajuan dengan pemacu akhir jenis tali sawat. Lampu-lampu LED dan panel meter TFT bentuk bulat sememangnya bersesuaian dengan peredaran masa kini yang lebih moden.
SWM Stormbreaker V 1200 memiliki rekabentuk keseluruhan yang persis dengan beberapa model Harley-Davidson. Antara bahagian yang dapat kita lihat dengan jelas ialah rim jenis tetuang berwarna hitam, bentuk cakera brek + angkup + sistem ABS.
Tayar hadapan SWM baru ini bersaiz 130/90-16 dan 150/80-16 di belakang. Pelananya setinggi 710 mm yang mudah ditunggang oleh sesiapa sahaja. Untuk tunggangan selesa, SWM melengkapkan model ini dengan fork hadapan jenis hidraulik, 49mm manakala penyerapan di belakang menggunakan sistem penyerap hentak hidraulik dengan pra-beban boleh laras. Model ini hadir dengan dua pilihan warna iaitu Hitam & Hijau Metalik. RR