Skuter Adventure SYM ADXTG 400 Dilancarkan
Ingatkan Honda ADV160 baharu tetapi rupanya SYM ADXTG 400 baharu.
Segmen skuter adventure semakin berkembang dan ramai pembuat memasukki pasaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Menariknya, Honda yang boleh dikatakan memulakan sub-segmen ini dengan pelancaran X-ADV pada tahun 2016 dan mengikutinya dengan varian yang lebih kecil seperti ADV350 dan ADV160. Pembuat motosikal Jepun yang lain pula nampaknya telah mengelakkan diri daripada segmen itu dan ia membuka ruang untuk skuter ADV baharu daripada pembuat Eropah, China dan Taiwan.
Salah satu yang baharu ialah SYM ADXTG 400 yang baharu ini. Ia tidak banyak menyembunyikan inspirasi rekabentuknya daripada skuter adventure yang lain, seperti rekabentuk badan yang lasak, tayar dwiguna, suspensi jarak jauh (untuk skuter) dan juga plat pelindung enjin, dan ekzos terbalik. Bukan sekadar itu sahaja, ADXTG 400 mendapat lengan ayun aluminium yang tidak biasa ditemui pada skuter.
Daripada segi prestasi, SYM ADXTG 400 dilengkapi dengan enjin 399cc, penyejukan cecair, suntikan bahan api, satu silinder dengan 35hp dan tork 36.6Nm. Pakej teknologi skuter juga premium kerana ia dilengkapi dengan ABS Bosch dan kawalan cengkaman. Penunggang dapat menutup ABS roda belakang untuk menunggang di luar jalan. Terdapat juga lampu LED penuh, dan amaran brek kecemasan yang mengelipkan lampu brek ketika membrek kecemasan.
SYM belum mendedahkan harga model ini tetapi ia dianggarkan akan berada di dalam pasaran global pada 2024.
Popular