Spy Shot: Prototaip KTM 390 Adventure Generasi-Baru
Sejak dilancarkan pada tahun 2019, KTM 390 Adventure merupakan antara model yang menarik minat para pengembara motosikal 'muda' atau baru menimba pengalaman. Namun begitu, apabila berada di laluan yang lebih lasak, jentera ADV yang kecil dirasakan tidak begitu sesuai.
Baru-baru ini tersebar di internet 'spy shot' yang menunjukkan KTM sedang membuat ujian terhadap model serba baru yang dikatakan lebih sesuai untuk tunggangan lasak.
Jentera baru tersebut didatangkan dengan enjin terbaru KTM 399cc LC4c (sejukan cecair, 4 injap) yang telah pun digunakan pada model 390 Duke 2024. Enjin ini berkuasa 44.3hp dan 39Nm – kenaikan kecil daripada sebelum ini iaitu 43hp dan 37Nm.
Model yang bakal memasuki produksi ini dilihat memiliki lengan ayun terbaru (lebih 'offroad') manakala saiz tayar juga berbeza dengan model adventure sedia ada. Tayar hadapan model baru nanti bersaiz 21-inci (sebelum ini 19-inci) yang akan digandingkan dengan tayar belakang bersaiz 18-inci.
Sistem saspensi di depan dan belakang pula dari jenama WP dan dijangka memiliki jarak roda yang lebih panjang daripada sekarang ini.
Dari segi rekabentuknya pula, KTM baru nanti akan dilengkapkan dengan cermin pengadang angin 'menegak' , pelindung tangan dan lampu-lampu LED jenis baru yang kini mula dipadankan dengan model-model KTM yang lain.
Jentera 390 Adventure generasi baru ini dijangka akan diperkenalkan sebagai model 2025 dan kita berharap ia akan dilancarkan di salah satu pameran motosikal antarabangsa tahun kelak. RR
sumber: https://www.cycleworld.com