BMW R 12 nineT 2024 – Roadster Klasik Baru
BMW Motorrad telah melancarkan model terbaru R 12 nineT yang hadir dengan kualiti pembikinan luar biasa, prestasi enjin mantap serta ketangkasan luar biasa di laluan biasa dan berliku.
Model baru ini disempurnakan dengan enjin boxer 1,170cc, sistem penyejuk cecair/minyak berkuasa 109hp pada 7,000rpm dan tork 85lb-ft pada 6,500rpm. Casis R 12 nineT jenis trellis adalah rekaan baru bertujuan untuk pergerakan lebih tepat. Ini menyebabkan pelindung kepala silinder dan kotak udara juga direka baru sepenuhnya.
R 12 nineT hadir dengan Mod Tunggangan (Rain, Road & Dynamic), Dynamic Traction Control (DTC) dan Engine Drag Torque Control – sistem yang menghalang roda belakang daripada tergelincir akibat menutup pendikit atau menurunkan gear secara tiba-tiba. Jadi, dengan adanya Engine Drag Torque Control, jentera ini dapat mengesan bahaya ini pada peringkat awal.
Sistem penyerapan roadster ini terdiri daripada fork hadapan jenis teleskopik, USD 45mm (boleh laras) dan penyerap hentak BMW Motorrad Paralever dengan pelarasan pra-beban. Tayar-tayar bersaiz 120/70 ZR 17 (depan) dan 180/55 ZR 17 (belakang) dipadankan dengan rim aloy-ringan serta brek cakera bersaiz 310mm (depan) dan 265mm (belakang). RR
Antara ciri-ciri menarik R 12 nineT
- BMW Motorrad ABS Pro
- Soket kuasa 12V
- Port USB-jenis C
- Lampu-lampu LED
- Sistem kunci pintar
- Panel meter TFT
- Ekzos berkembar sebelah kiri
- Tangki aluminium
- Steering Stabilizer
- Warna: Blackstrom Metallic