Ultraviolette F99, Superbike Elektrik Pertama Dari India
Ultraviolette Automotive merupakan syarikat pengeluar kenderaan elektrik yang beroperasi di Bangalore, India. Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 2016 dan antara model yang telah mendapat perhatian ramai ialah F77 yang mendapat gelaran 'The Fastest Electric Motorcycle' dengan kelajuan 307km/j. Model ini telah menerima lebih daripada 70,000 tempahan sejak Oktober tahun lalu.
Pada Oktober 2023, mereka melancarkan pula Ultraviolette F77 Space Edition yang hanya ditawarkan 10 unit sahaja untuk pasaran India. Model tersebut memiliki hantaran kuasa setinggi 40hp dan tork 100Nm dengan kemampuan memecut dari 0-100km/j dalam masa 7.8 saat. Laju maksimum untuk model ini pula ialah 152km/j. Ultraviolette F77 Space Edition ini juga mampu bergerak sekitar 300 kilometer.
Di EICMA baru-baru ini, pengeluar motosikal elektrik dari India itu memperkenalkan pula model sport terkini iaitu F99 yang memiliki rekabentuk moden, aerodinamik dan spesifikasi yang cukup mengagumkan.
Rekabentuk F99 sememangnya 'garang' dan mirip dengan jentera perlumbaan. Bahagian luaran model ini dihasil menggunakan bahan gentian karbon yang dipadankan dengan kerangka jenis Steel Hybrid Construction yang bertegaran tinggi.
Bahagian hadapan dikemaskan dengan lampu utama LED, lengkap dengan sayap (winglet) tetapi tidak didatangkan dengan cermin pengadang angin. Menurut Ultraviolette, rekabentuk hadapan ini direka menggunakan DNA dunia penerbangan khususnya dari segi aerodinamik.
F99 menjanakan hantaran kuasa setinggi 120hp serta kadar keberatan hanya 178kg, ia dapat memecut dari 0-100km/j dalam masa tiga saat dan mampu mencapai laju maksimum 265km/j.
Dikatakan versi produksi bakal dilancarkan di peringkat global pada tahun 2025 nanti. RR
Ciri-ciri Ultraviolette F99:
- Tapak roda: 1,400mm
- Tinggi: 1,050mm
- Tayar hadapan: 120/70 R17
- Tayar belakang: 180/55 R17
- Lengan ayun: aliuminium
- Brek-brek jenis Brembo
- Sistem ABS
Popular