Honda ST125 DAX 2024 – Makin 'Kiut' Dengan Warna Baru
Motosikal mini keluaran Honda telah menarik perhatian penunggang muda dan tua. Monkey 125 contohnya, zaman keemasannya adalah pada tahun 1970-an. Ia diminati kerana comel dan cukup sesuai sebagai alat pengangkutan bandar yang moden, kompak dan funky.
Model MSX125 Grom pula direka untuk disesuaikan dengan 'Generasi Y' dan sesuai juga digunakan di paddock perlumbaan kereta dan motosikal.
ST125 Dax, diperkenalkan semula ke pasaran Eropah tahun lepas. Ia direka sepenuhnya berinspirasi ketulenan asli model 1969 tetapi hadir dengan prestasi abad ke-21 khususnya dari segi casis, enjin dan ergonomik. Model-model Dax telah dihasilkan untuk pasaran Jepun dari tahun 1995 hingga 2003. Kejayaan penjualannya di Eropah disebabkan daya tarikannya yang nakal serta prestasi enjin yang tidak diduga.
Model baru ini didatangkan dengan enjin 124cc, sistem penyejuk udara SOHC, dengan kuasa 6.9kW pada 7,000rpm dan tork 10.8Nm pada 5,000rpm. Dengan sistem transmisi 4 kelajuan, laju maksimum yang dinyatakan oleh pihak Honda ialah sekitar 90km/j.
Lampu utamanya jenia LED yang berbentuk bulat untuk disesuaikan dengan tema model ini. Panel meter digitalnya memaparkan pelbagai informasi penting yang diperlukan. Bahagian sisi kanan dikemaskan dengan ekzos krom melintang yang cukup menarik.
DAX 125 didatangkan dengan tayar-tayar bersaiz 120/70-12M/C 51L (depan) dan 130/70-12M/C 56L (belakang) yang dikawal oleh brek-brek cakera beserta ABS. Kelincahan jentera mini Honda ini disumbangkan oleh fork hadapan jenis terbalik 31mm dan penyerap hentak berkembar di belakang. Honda turut menyatakan pakej sistem saspensi ini menjanjikan keselesaan tunggangan walaupun menunggang berdua.
Honda DAX 125 didatangkan dalam tiga warna menarik iaitu Pearl Glittering Blue, Pearl Nebula Red dan Pearl Cadet Grey. RR