Model Sport baru dari Suzuki, GSX-8R 2024
Suzuki Eropah memperkenalkan jentera Sport GSX-8R yang menawarkan rekabentuk generasi baru, tangkas, selesa dan berprestasi tinggi. Model baru ini disempurnakan dengan enjin kembar-parallel, 776cc, DOHC yang mempunyai hantaran kuasa setinggi 82.9ps pada 8,500rpm dan tork 78Nm pada 6,800rpm.
Rekabentuk GSX-8R menarik perhatian kita menerusi lampu hadapannya, cermin penahan anginnya direka lebih dinamik, fairing berinspirasikan model GSX-R, lampu hadapan 'dua lapisan' jenis LED, lampu belakang pula disepadukan pada bahagian 'madgad', fork hadapan jenis aluminium, kerangka dan panel TFT yang cukup jelas.
Pembangunan casis model ini menyasarkan kepada keselesaan optimum dan prestasi keseluruhan model ini khususnya untuk enjin kembar-parallel. Kerangka Suzuki ini dibuat daripada keluli bertegaran tinggi yang bersepadanan dengan karaktor jentera ini. Hasilnya, GSX-8R bukan sahaja bertubuh langsing tetapi juga memiliki kawalan serta pengendalian yang mantap disamping hantaran kuasa yang cukup lancar untuk pemiliknya menikmati laluan lurus, jalanan luar bandar dan kawasan-kawasan berselekoh.
Kecemerlangan jentera ini turut disumbangkan oleh bar hendal aluminium yang berasingan, fork hadapan USD jenis Showa, brek cakera dwi hadapan dan kawalan elektronik sistem termaju iaitu Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) yang merangkumi Suzuki Drive Mode Selector, Suzuki Traction Control System dan sistem Quickshifter, Suzuki Easy Stard, Low RPM Assist, sistem ABS dan badan pendikit Ride-by-Wire.
Menerusi sistem RbW ini, Suzuki GSX-8R dilengkapi dengan 3 mod tunggangan iaitu Mod A (Active) yang menawarkan respon pendikit paling cepat, pecutan mantap dan sesuai dipilih dalam cuaca yang baik. Mod B (Basic) pula memiliki tahap kuasa hantaran yang sama tetapi respon pendikitnya lebih lembut. Mod ini sesuai untuk pelbagai jenis gaya tunggangan dan keadaan jalan. Mod C pula memberikan respon yang jauh lebih lembut dan dicadangkan memilih mod ini untuk perjalanan yang jauh, menunggang berdua atau ketika berada dalam cuaca yang kurang baik.
Rekabentuk tangki sebesar 14 liter juga direka dengan sempurna agar tampak kompak, slim dan memudahkan kawalan. GSX-8R didatangkan dalam tiga warna menarik iaitu Metallic Triton Blue (YSF), Metallic Matt Sword Silver (QKA) dan Metallic Matt Black No. 2 (YKV). RR
Popular