EICMA 2023: Suzuki GSX-S1000GX – Model Sport Crossover Baru
Pentas pameran motosikal EICMA diserikan dengan pengenalan kepada model 'crossover' terbaru iaitu Suzuki GSX-S1000GX. Model ini juga menawarkan pakej elektronik paling moden menerusi beberapa sistem inovatif seperti Bosch IMU enam paksi serta Suzuki Advanced Electronic Suspension (SAES).
Posisi menunggang yang tegak meluaskan pandangan penunggang dan memberikan keselesaan sepanjang hari. Fork hadapan yang lebih panjang juga membantu GX bergerak lebih cekap khususnya di atas permukaan tidak rata. Terdapat empat mod untuk sistem SAES yang boleh dipilih: Hard, Medium, Soft manakala pilihan User pula boleh ditala sendiri dengan tiga tahap tetapan.
Model baru ini disempurnakan dengan enjin 999cc, 4 silinder sebaris, DOHC, sistem penyejuk cecair, yang menawarkan hantaran kuasa setinggi 152PS pada 11,000rpm dan tork 106 Nm pada 9,250rpm.
Suzuki baru ini turut didatangkan dengan sistem Road Adaptive Stabilization (SRAS) yang digunakan buat kali pertamanya pada GX baru ini. Sistem ini mengesan permukaan jalan yang tidak rata berdasarkan input daripada IMU, sensor kelajuan roda dan apabila perlu, sistem elektronik seterusnya iaitu Suzuki Floating Ride Control (SFRC) yang membantu melicinkan perjalanan. Sistem SFRC ini melaraskan tetapan injap pendikit elektronik untuk menawarkan tindak balas pendikit yang lebih lembut dan lebih terkawal.
Dengan reka bentuk dan konsep 'Sport Crossover' serba baru ini GSX-S1000GX sememangnya menjadi penanda aras dalam kategori 'baru' ini.
GSX-S1000GX juga hadir dengan Suzuki Drive Mode Selector versi Alpha (SDMS-α) yang memberikan pilihan tiga mod tunggangan Active, Basic dan Comfort, Lift Limiter (anti-wheelie), Traction Control dan yang terbaru, Roll Torque Control.
Sistem Roll Torque Control berinteraksi dengan IMU untuk mengira sudut miringan dan kelajuan bagi menentukan tahap hantaran kuasa dan tenaga pecutan dengan tepat. Contohnya apabila kita keluar dari selekoh, sistem ini akan mengurangkan tahap pengeluaran kuasa tork agar pergerakan lebih lancar dan selamat. RR
Antara ciri-ciri menarik Suzuki GSX-S1000GX:
- Quickshifter dua-hala
- Cruise Control
- Cermin Pengadang Angin boleh laras
- sistem ABS Lean-Angle
- Slope Dependent Control
- Easy Start
- Low RPM Assist
- Panel meter TFT 6 .5 inci
- Sistem sambungan telefon pintar
- Soket USB
- Isi tangki 19 liter
- Lampu-lampu LED
- Kerangka dan lengan ayun aluminium
- Warna: Metallic Triton Blue, Glass Sparkle Black dan Pearl Matt Shadow Green