MODA Shifter 400X 2024 Bakal Dipasarkan Tahun Hadapan
MODA adalah jenama baru motosikal tempatan yang diterajui oleh AFY Mobility Industries (AMI) yang menampilkan barisan skuter maksi dan berkuasa sederhana untuk pasaran Malaysia. Bagi para peminat motosikal yang ingin memiliki sebuah jentera automatik berprestasi tinggi dan elegan, MODA merupakan antara pilihan yang terbaik.
MODA Shifter 400X telah dipamerkan di Litar Antarabangsa Sepang pada penganjuran MotoGP Malaysia baru-baru ini. Skuter maksi ini disempurnakan dengan enjin 333.4cc, 4 injap, sistem penyejuk cecair, Euro 4 yang menawarkan hantaran kuasa 121.7kw pada 7,000rpm dan tork 33.5Nm pada 5,500rpm dengan kelajuan maksimum (dinyatakan) 138km/j.
Rekabentuk yang anggun ini disumbangkan oleh beberapa ciri-ciri moden seperti lampu-lampu LED, panel meter TFT, sistem kunci pintar, cermin pengadang angin boleh laras, sistem traction control, ruang bawah pelana yang luas dan posisi menunggang yang selesa.
Shifter 400X hadir dengan tayar-tayar bersaiz 120/70-14 (depan), 150/70-13 (belakang) yang dikawal sebaiknya oleh brek-brek cakera berserta sistem ABS. Sebagai sebuah jentera automatik yang sesuai digunakan untuk tunggangan biasa dan pengembaraan, MODA baru ini disempurnakan dengan tangki bahan api bersaiz 17.4 liter.
MODA Shifter 400X akan berada di pasaran negara tahun 2024, ditawarkan dalam dua warna iaitu Hitam dan Putih. Harga masih belum diberitahu tetapi dijangkakan dalam lingkungan RM30,000. RR
Popular