Suzuki Malaysia Perkenal GIXXER 250 & GIXXER SF250. Harga dari RM14,500
Suzuki Malaysia Sdn Bhd dengan rasminya memasuki segmen jentera 250cc dengan pengenalan kepada dua model baru iaitu GIXXER 250 dan GIXXER SF250. Kedua-dua model ini disempurnakan dengan enjin bersaiz 249cc, silinder tunggal SOHC yang menawarkan hantaran kuasa setinggi 26.7hp pada 9,300rpm dan tork 22.2Nm pada 7,300rpm.
Salah satu ciri inovatif utama GIXXER adalah enjinnya yang direka secara kompak berpadanan dengan sistem penyejukan minyak Suzuki Oil Cooling System (SOCS) dan model ini juga dilengkapi dengan teknologi Suzuki Eco Performance (SEP) untuk penggunaan petrol yang luar biasa dan sistem Suzuki Easy Start untuk kemudahan menghidupkan enjin pada bila-bila masa.
Pasangan GIXXER turut didatangkan dengan sistem ABS, transmisi 6 kelajuan, kawalan kendalian yang kemas serta fleksibel menjadikannya pilihan sesuai untuk kegunaan harian di bandar dan perjalanan jauh. GIXXER telah menerima pentauliahan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga Malaysia atau Energy Efficient Vehicle (EEV). Dengan kapasiti tangki minyak 12 liter, motosikal ini boleh mengembara sehingga 400km dengan hanya sekali isian.
Walaupun kedua-dua model ini berkongsikan saiz dan kuasa enjin yang sama, perbezaan paling ketara adalah dari segi rekabentuknya. GIXXER SF250 dikemaskan dengan reka bentuk berfairing penuh yang bercirikan jentera perlumbaan manakala GIXXER 250 pula mengambil pendekatan rekabentuk jentera naked/jalanan dengan tempat duduk yang lebih tegak untuk pengendalian lebih santai.
Antara ciri-ciri lain yang menarik:
- Panel meter LCD
- Ekzos dua saluran dengan kemasan krom,
- Lampu hadapan LED untuk kedua-dua model
- Rim aloi
Kedua-dua model ini dipasarkan di Malaysia sebagai unit pemasangan Complete Knock-Down (CKD) yang ditawarkan pada harga RM14,500.00 untuk model GIXXER 250 manakala GIXXER SF250 berharga RM15,500 (tidak termasuk pendaftaran, insurans dan cukai jalan).
Terdapat beberapa pilihan warna yang boleh dipilih. Untuk GIXXER 250, dalam dua warna pilihan iaitu Metallic Met Stellar Blue dan Metallic Matte Black No. 2. Bagi peminat SF250 pula, model ini hadir dalam warna Metallic Sonic Silver/Metallic Triton Blue (Edisi GP) dan Metallic Matte Black No. 2.
Untuk maklumat lanjut mengenai Suzuki GIXXER 250 dan GIXXER SF250 yang baru ini, sila lawati pengedar sah Suzuki Big Bike World, Suzuki Station Plus, Suzuki Station atau terus ke laman web Suzuki Malaysia di http://www.suzuki.com.my. RR
Popular