Suzuki V-Strom 800RE 'Touring' 2024 Dilancarkan ke Pasaran Eropah
Selepas menempa kejayaan menerusi model V-Strom 800DE yang diperkenalkan awal tahun ini, Suzuki Eropah telah mengumumkan ketibaan V-Strom 800RE (Touring) baru yang akan memastikan rangkaian V-Strom benar-benar bersedia di pasaran dan mampu merentasi kepelbagai rupa bumi, cuaca dan destinasi pengembaraan.
Suzuki V-Strom 800RE lebih tertumpu pada pengembaraan di jalanan biasa berbanding 'saudaranya' yang lebih bersedia untuk laluan lasak. V-Strom 800RE disempurnakan dengan enjin berkembar selari 776cc yang memiliki hantaran kuasa maksimum setinggi 84.3PS pada 8500rpm dan tork 78Nm pada 6800rpm.
Model baru ini juga dilengkapi dengan fork Showa Separate Fork-Big Piston (SFF-BP) dan penyerap hentak tunggal Showa dengan pra-beban boleh laras.
V-Strom 800 Touring kini dilengkapi dengan tayar-tayar bersaiz 19” dan 17” yang dipadankan dengan rim aluminium tetuang (V-Strom 800DE: tayar bersaiz 21” dan 17” dengan rim berjejari). Untuk keseronokan pengembaraan, ia datang dengan pelana setinggi 825mm.
Skrin pengadang angin kini lebih tinggi dan lebar untuk lebih perlindungan cuaca manakala penggunakan panel meter TFT 5 inci memastikan setiap info dapat dilihat dengan jelas pada waktu siang dan malam. Terdapat juga port USB berguna yang terletak di sebelah kiri.
Menerusi Suzuki Intelligent Ride System (SIRS), antara sistem elektronik terkini yang menanti para pemilik Suzuki ini ialah 'Quickshifter' 2 hala, Slipper Clutch, Suzuki Low RPM Assist, Easy Start, Traction Control, Power Mode (Active, Basic, Comfort) dan sudah semestinya sistem ABS.
Model baru juga diinspirasikan oleh model 'lejen' DR seperti mana penggayaan model 800DE yang lengkap dengan 'paruh' ikonik dan lampu LED penuh di hadapan dan belakang.
V-Strom 800RE akan didatangkan dalam Pearl Vigor Blue, Metallic Matt Steel Green dan Glass Sparkle Black. RR
Popular