Ducati Malaysia Persembahkan 3 Model Baru: Diavel V4, Panigale V4 SP & Streetfighter V4
Ducati Malaysia telah melancarkan tiga model elegan dan mewah iaitu Diavel V4, Panigale V4 SP dan Streetfighter V4 yang menjanjikan bukan sahaja rupabentuk menawan tetapi juga prestasi keseluruhan yang cukup padu!
Diavel V4 hadir dengan rekabentuk tubuh badan yang tegap, garang tetapi sangat elegan. Model ini adalah bukti kebijaksaan para jurutera Ducati dalam penciptaan sebuah jentera lengkap yang menggabungkan elemen-elemen luar biasa yang menjadi idaman para pencinta dua roda di seluruh dunia.
Model baru ini disempurnakan dengan enjin baru Granturismo V4 berkapasiti 1,158cc yang mampu menjanakan kuasa setinggi 168bhp serta padat dengan sistem elektronik moden seperti 4 pilihan Mod Tunggangan, Power Mode, sistem Cornering ABS, Ducati Traction Control, Ducati Wheelie Control dan Ducati Quick Shift.
Antara ciri-ciri menarik lain ialah:
- Rekabentuk luaran yang tegap dengan tangki sebesar 20 liter
- kerangka monoque aluminium
- servis utama Diavel V4 pada setiap 60,000km
- 13kg lebih ringan berbanding Diavel 1260 S (untuk pergerakan lebih tangkas)
- paparan panel meter jenis TFT
- rekabentuk ekzos yang garang
- lampu belakang LED dengan gaya baru
- Harga: RM178,900
Panigale V4 SP2 pula merupakan lambang untuk prestasi dan kecemerlangan jentera sport dari Ducati. Ia sememangnya direka untuk mereka yang berjiwakan kelajuan dan memiliki kemampuan berada di litar perlumbaan.
Model baru kali ini hadir dengan gaya liveri 'Winter Test' – gabungan antara Matte Black dan penggayaan gentian karbon. Warna ini kemudiannya dipadankan dengan kemasan warna merah serta rekabentuk sayap sisi berinspirasikan bendera Itali.
Ia hadir dengan enjin Desmosedici Stradale V4 1103cc yang menawarkan kuasa maksimum 215.5hp dan tork 123.6Nm pada 9,500rpm. Sebagai sebuah jentera berprestasi luar biasa, ia dilengkapkan dengan pelbagai ciri-ciri hebat seperti sistem penyerap hentak TTX36 dengan Ohlins Smart EC 2.0. 4 Mod Tunggangan, sistem brek jenis Brembo Stylema, rim bertempa Marchesini, STM Evo 'Dry Clutch', Peredam Hendal, Data Analyser dan banyak lagi.
Sistem elektronik pada Panigale ini juga menjamin keterujaan. Antaranya Ducati Power Launch (DPL), Ducati Quick Shift (DQS), Lampu utama LED dengan Daytime Running Light (DRL), Ducati Electronic Suspension (DES) EVO, lampu isyarat 'Auto-off', grip gaya perlumbaan, pelindung rantai, sayap, madgad depan gentian karbon dan tempat pemijak boleh laras. Ducati Panigale V4 SP4 ditawarkan pada harga RM299,900.
Streetfighter V4 merupakan antara model jalanan yang paling eksklusif dengan menawarkan rekabentuk cukup garang dan mewah pada masa yang sama. Bahagian depannya direka berinspirasikan watak 'Joker' dalam dunia komik dan cukup sesuai buat para pencinta kuasa pecutan dan tunggangan agresif.
Ia hanya seberat 201.5kg, cukup tangkas untuk tunggangan para eksekutif muda di kawasan urban. Ducati melengkapkan Streetfighter V4 dengan enjin Desmosedici Stradale engine bersesaran 1,103cc yang menawarkan hantaran kuasa setinggi 208hp pada 13,000 rpm dan tork 123Nm pada 9,500 rpm. Terdapat 4 Power Mod iaitu Full, High, Medium dan Low yang boleh dipilih mengikut tahap kemahiran dan situasi perjalanan.
Antara ciri-ciri lain yang dimiliki oleh jentera baru ini antaranya ialah pelbagai mod tunggangan, semestinya sistem elektronik canggih seperti Power Mode, Cornering ABS EVO, Ducati Traction Control (DTC) EVO 2, Ducati Wheelie Control (DWC) EVO dan Ducati Quick Shift (DQS).
Lampu hadapannya adalah jenis LED berserta DRL manakala panel meter model ini adalah jenis TFT bersaiz 5" yang berkonsepkan perlumbaan. Harga untuk Ducati Street Fighter V4 ialah RM141,900. RR
Popular