Ducati Hypermotard Bersilinder Tunggal?
Ducati Hypermotard bukanlah sebuah model baharu tetapi apa pula dengan konsep berenjin silinder tunggal?
Sebuah majalah luar negara telah berjaya mengintip sebuah Ducati yang sedang diuji, dan mendapati bahawa ia menggunakan enjin silinder tunggal menggantikan engin V-Twin (Ducati menggelarnya L-Twin). Gambar tersebut hanya menunjukkan konfigurasi enjinnya dan Ducati tidak membongkarkan sebarang spesifikasi lain. Namun, terdapat juga dokumen untuk kelulusan di Amerika Syarikat di mana ia merujuk kepada sebuah enjin 659cc. Kuasa maksimumnya dikhabarkan mencecah 75hp.
Tetapi jelas di dalam gambar bahawa motosikal itu merupakan sebuah Hypermotard, tetapi dengan enjin serta brek yang berlainan.
Model baharu ini akan menjadi motosikal Ducati yang pertama menggunakan enjin silinder tunggal sejak Supermono pada abad 90an. Pada masa yang sama, KTM juga dikhabarkan sedang membina sebuah motosikal berenjin sedemikian setelah ketiadaan 690 Duke. Jika ia benar, kedua-dua motosikal ini akan menjadi lawan di dalam arena ini, selain daripada Husqvarna Supermoto 701 (yang menggunakan enjin 690 Duke).
Sama-sama kita nantikan.
(Gambar menunjukkan Hypermotard yang sedia ada.)