Tempahan untuk Yamaha Tenere 700 2023 Dibuka Sekarang. Harga asas RM69,988
Model lasak, Yamaha Tenere yang mendapat pujian daripada para peminat motosikal beberapa tahun lalu akhirnya akan masuki pasaran negara tidak lama lagi. Bersempena dengan acara Yamaha Gen Blu 2023 yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 September lalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan rasminya telah membuka tempahan bagi model tersebut pada harga yang disyorkan, RM69,988.
Model ini disempurnakan dengan enjin bersesaran 689cc, CP2, DOHC, 4 injap yang memiliki hantaran kuasa setinggi 72.3hp pada 8,750rpm dan 67Nm pada 6,500rpm. T7 berketinggian 880mm yang dipadankan dengan fork hadapan jenis USD 43mm, penyerap hentak belakang jenis mono, kerangka keluli tiub dan kotak gear 6 kelajuan.
Yamaha Tenere 700 semakin mendapat perhatian sejak kecemerlangan yang dipamerkan di pelbagai siri perlumbaan lasak di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia. Kelincahan dan ketangkasan T7 menangani laluan-laluan sukar memang memberi kepuasan. Ia hadir dengan tayar hadapan bersaiz 90/90 x 21 dan 150/70 x 18 di belakang yang dikawal oleh sistem brek cakera beserta ABS.
Panel meter TFT bersaiz 5 inci memaparkan pelbagai informasi lengkap termasuklah perhubungan dengan telefon pintar (My Ride Yamaha), email, panggilan masuk dan muzik. Menariknya, Yamaha T7 ini merupakan jentera pemasangan tempatan atau CKD yang dilakukan di HLYM, Sungai Buloh. RR
Popular