MV Agusta Brutale 1000 RR Assen Edisi Terhad
MV Agusta edisi terhad terus ditawarkan buat para pencinta motosikal dan terkini, varian Brutale 1000 RR Assen baru sahaja dilancarkan dan semestinya menjadi tumpuan utama. Dari segi gaya dan kesempurnaan teknikal, jentera MV Agusta sentiasa berada di tahap yang tinggi dan model baru ini dicipta bagi meraikan 35 tahun kejayaan yang dicipta oleh MV Agusta di litar lagenda, Assen. Kecemerlangan ini menjadikan MV Agusta sebagai antara pengeluar motosikal dari Itali yang paling berjaya di litar Belanda itu.
Setengah abad telah berlalu, sejak kemenangan MV Agusta yang terakhir di Litar Assen pada tahun 1976 'ciptaan' Giacomo Agostini dalam kelas 350. Walaupun ia sejarah yang lama, gaya tarikan dari litar Belanda ini dan nama MV Agusta terus hidup malah lebih daripada sebelumnya.
Brutale 1000 RR Assen direka untuk memperingati hari kegemilangan itu. Hanya 300 unit motosikal bernombor khas itu akan dibina dengan tangan (hand made). Edisi terhad yang berprestij ini juga merupakan hasil kerjasama secara langsung di antara MV Agusta dengan litar Assen.
Litar Assen juga terkenal dengan gelaran "Cathedral of Speed" dan telah menganjurkan perlumbaan TABAC Classic GP pada 8-10 September lalu. Penganjuran perlumbaan ini telah menandatangani perjanjian dengan MV Agusta untuk mempromosikan litar dan jenama motosikal ini khususnya.
Model baru ini didatangkan dengan sistem kotak gear elektronik serba baru yang beroperasi lebih cepat dan lancar. Enjin Brutale bersesaran 998cc yang mampu menghasilkan kuasa maksimum setinggi 208hp (153 kW) pada 11,000 rpm dan tork 116.5 Nm pada 11,000 rpm.
Skima warna eksklusif "Assen" menggabungkan warna Biru (Blu Nordico), Perak (Argento Ago) dan Emas yang menyerlahkan lagi gaya elegan dan sporty pada masa yang sama. Pilihan bahan pembuatan cukup mewah. Ia bermula dengan rim gentian karbon jenis Rotobox yang sangat ringan dan berkualiti. Bahan gentian karbon banyak digunakan pada jentera sebagai pelindung haba dan sudah semestinya elemen yang terbaik bagi menjadikan jentera ini bernilai tinggi.
Warna kelabu digunakan pada bahagian kerangka yang dapat dilihat dengan jelas pada bahaian lengan ayun tunggalnya, dan plat sebelah kiri dan lain-lain. Dengan setiap pembelian edisi khas ini, para pelanggan turut ditawarkan dengan aksesori-aksesori istimewa khususnya untuk menambah kuasa dan menurunkan berat keseluruhan jentera ini.
Aksesori tersebut termasuklah sistem ekzos Arrow, penutup tangki aluminium (berwarna emas dan hitam), dan penutup pelana pembonceng gentian karbon, tuas klac dan tuas brek dari pengeluaran CNC. RR
Popular