BMW M 1000 RR 2023 Hadir Dengan Pakej Perlumbaan M
BMW Motorrad Malaysia telah memperkenalkan pakej Perlumbaan M cukup dinamik untuk model sport BMW M 1000 RR baru. Pakej M ini menawarkan peningkatan prestasi agar lebih sporty disamping daya tarikan visual cukup anggun untuk pengalaman menunggang yang mantap.
Sejak pengenalan pertamanya ke pasaran Malaysia pada 2021, BMW M 1000 RR telah mengembalikan kecemerlangan prestasi untuk keseronokan muktamad dari litar lumba ke jalan raya. Model terbaru ini masih menggunakan rekaan casis asal yang direka untuk kecemerlangan di litar. Dengan Pakej Perlumbaan M, model baru ini dilengkapkan dengan lengan ayun aluminium yang dianod dan ini berjaya mengurangkan berat sebanyak 220 gram termasukan tuas brek dan klac ‘M’.
Varian terbaru ini juga dilengkapkan dengan Pelindung Tuas Brek, Rantai ‘Endurance’ M dan Tempat Pemijak M. Bahagian Rim Karbon ‘M’ turut dikemaskan dengan komponen-komponen karbon seperti Pelindung Rim Hadapan, Pelindung Rim Aero M dan Pelindung Rim Belakang. Pakej ini juga termasuk pelindung sproket, pelindung rantai, pelindung sisi dan tangki.
Menerusi Pakej Perlumbaan M, BMW ini dilengkapkan dengan pelindung enjin baru dan teknologi BMW ShiftCam yang mempertingkatkan prestasi jentera ini untuk memecut pada kelajuan 314km/j. M 1000 RR disempurnakan dengan enjin 999cc yang menjanakan kuasa setinggi 156kW (212hp) pada 15,100rpm dan tork 113Nm pada 11,000 rpm.
BMW terus kekal menggunakan panel meter TFT bersaiz 6.5inci, dikuasakan oleh OBD Interface yang kini memberikan paparan GPS-Laptrigger. Aksesori pilihan untuk BMW M 1000 RR ini terdiri daripada Pelindung Angin (3 varian: Tinted, Bubble & Bubble Tinted), M Datalogger dan Kit Pelindung M.
Model yang cukup padu ini hadir ke pasaran dengan warna kombinasi di antara Light White, Racing Blue Metallic dan Racing Red. Miliki jentera sport terulung ini pada harga RM 289,500 (3 tahun waranti BMW Motorrad Malaysia, Program Roadside Assistance selama 3 tahun, tidak termasuk insurans). RR
Popular