MForce Bike Holdings Lancar Benelli 502C & 150S Serta SM Sport 110E
Bersempena Majlis Dealers’ Night Of Excellence, MForce Bike Holdings Sdn Bhd semakin mengembangkan sayapnya dengan pelancaran model-model terbaru iaitu Benelli 502C dan 150S yang cukup anggun dan mengagumkan. Pada acara yang sama, model SM Sport 110E juga turut diperkenalkan di sebuah hotel terkemuka di Pulau Pinang pada 22hb September lalu.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan MForce Bike Holdings Sdn Bhd, Dato' Sri Leo Tan Lean Heah bersama Presiden ZheJiang QianJiang Motorcycle Co. Ltd., En. Yu Jin dan para VIP yang lain.
Benelli 502C direka buat mereka yang gemarkan sebuah jentera urban cruiser yang menawarkan rekabentuk cukup agresif sekali. Menerusi rekaan sebuah cruiser, pelananya lebih rendah (750mm), tempat letak kaki yang ke hadapan serta bar hendal lebih lebar.
Seperti model Leoncino d a n TRK, 502C didatangkan dengan enjin bersesaran 500cc, silinder berkembar, DOHC, suntikan bahan api dengan sistem penyejuk cecair yang dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan. Jentera ini memiliki kuasa maksimum 35kW pada 8,500rpm dan tork 45Nm pada 6,000rpm sekali gus mampu mencapai kelajuan 160km/j.
Kerangka jenis tiub trellis menawarkan tunggangan yang stabil dan lincah. Sistem saspensi hadapannya, fork jenis terbalik (USD) dan belakang penyerap hentak tunggal Kayaba. Untuk memberikan keyakinan ketika mengambil selekoh, jentera ini dipadankan dengan tayar-tayar Pirelli ST bersaiz 120/70ZR-17 (depan) dan 160/60ZR-17 (belakang).
Sistem brek turut dipertingkatkan dengan penggunaan cakera berkembar di hadapan bersaiz 260mm manakala belakang cakera 240mm beserta sistem ABS.
Antara kelengkapan lain terdiri daripada lampu-lampu LED, panel meter digital, tangki bahan api 21.5 liter dan berat 220kg. Model 502C ditawarkan pada harga RM31,588 (tanpa cukai jalan dan insurans) dengan tiga pilihan warna iaitu Metallic Red, Matte Black dan Metallic Black.
Benelli 150S pula merupakan sebuah mesin jalanan yang direka dengan penuh bergaya dan menarik. Enjin bersesaran 149.8cc, SOHC dengan sistem penyejuk cecair menjana kuasa 9.8kW pada 9,000rpm dan tork 12.5Nm pada 7,000rpm dengan kelajuan maksimum 130km/j. Enjin dengan suntikan bahan api ini dilengkapi transmisi 6-kelajuan. Menariknya, model ini dikuasakan dengan tiga palam pencucuh seperti model RFS150i yang menawarkan prestasi, kuasa dan pecutan optimum.
Demi keselesaan penunggang, model ini diserlahkan dengan penggunaan saspensi hadapan fork jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal di belakang. Bahagian rim aloi aluminium disaluti dengan tayar-tayar bersaiz 100/80-17 (depan) dan 130/70-17(belakang).
Untuk tampak lebih menarik, antara ciri-ciri yang ada seperti lampu-lampu LED, sistem ekzos yang mantap, panel meter digital, posisi tunggangan sporty, tangki bahan api 10 liter dan penggunaan brek-brek jenis cakera. Benelli 150S boleh didapati pada harga RM8,588 (Space Black & Lava Red) manakala untuk versi SE, RM8,888 (Nitro Green). Kedua-dua harga adalah tanpa cukai jalan dan insurans.
SM Sport 110E pula adalah sebuah moped yang dijana dengan enjin silinder tunggal, 109cc, sistem penyejuk udara dengan transmisi 4-kelajuan. Ia menawarkan kuasa hantaran 4.5kW pada 7,500rpm dan tork 7.0Nm pada 5,000rpm yang mematuhi piawaian EURO3. Model ini tampil dengan penggunaan brek depan dan belakang jenis gelendong, tangki petrol 4 liter, panel meter yang kemas serta tayar bersaiz 70/90-17(depan) dan 80/90-17 (belakang).
Dengan slogan ‘Jimat & Selamat,’ SM Sport 110E dijual pada harga RM3,488 dengan tiga pilihan warna iaitu Lava Red, Ocean Blue dan Carbon Black. Setiap pembelian didatangkan bersama waranti selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu).
Di majlis tersebut, MForce Bike Holdings turut menyampaikan penghargaan kepada 20 pengedar yang berjaya menepati sasaran jualan motosikal mereka buat tahun 2018. Seramai 700 orang yang datang dari serata Malaysia pada malam tersebut turut dihiburkan dengan persembahan tarian dan nyanyian daripada kumpulan Instyle Band sambil menikmati makan malam istimewa. Acara Cabutan Bertuah berupa sebuah Benelli 150S sebagai hadiah utama sudah tentu mengemparkan suasana buat para hadirin.
Keesokannya MForce Bike Holdings telah memberi peluang kepada para media untuk sesi tunggangan ringkas ketiga-tiga model tersebut. Kami bermula dengan menunggang Benelli 150S. Model ini menawarkan tunggangan yang sporty dan sangat lincah meratah segala selekoh. Rekabentuknya pula cukup garang tidak kira dilihat dari jauh mahupun dekat.
Selepas itu, kami bertukar pula kepada Benelli 502C. Walaupun berat 220kg, model ini sangat mudah dikendalikan tidak kira golongan. Posisi tunggangannya cukup selesa walaupun pemijak kaki terlalu ke hadapan. Sistem ekzosnya pula cukup mantap didengar sebaik pendikit dipulas.
Kemudian kami menunggang SM Sport 110E. Model ini boleh dihidupkan dengan dua cara iaitu elektrik dan tendang. SM Sport sesuai untuk dibawa ke tempat kerja, pasar dan bersiar-siar. Jentera ini ternyata ringan, kami dapat melarikannya ke kiri dan kanan dengan mudah sekali.
Walaupun ini merupakan sessi pandu uji ringkas, kami amat berpuas hati dengan ketiga-tiga buah model. Kami berharap pada masa akan datang dapat merasa kemantapan dan kebolehan jentera-jentera tersebut dengan lebih mendalam lagi. RR
Popular