Suzuki V-Strom 250SX (2023) telah Dilancarkan di Jepun, Akan ke Malaysia?

Suzuki V-Strom 250SX (2023) telah dilancarkan untuk pasaran Jepun baru-baru ini. Pelancaran ini berlangsung setelah model tersebut dilancarkan di beberapa pasaran Asia yang lain termasuk India (di mana motosikal ini juga dibuat), Filipina, dan Indonesia.
Model adventure Suzuki ini menggunakana enjin silinder tunggal 249cc, dengan penyejukan minyak. Gerek dan lejang masing-masing ialah 76.0mm x 54.9mm.
Enjin ini menghasilkan 25HP pada 9,300 RPM dan 21.7NM pada 7,300 RPM. Kita boleh lihat daripada nombor prestasi ini bahawa enjin ditala untuk menghasilkan lebih banyak tork pada julat RPM yang lebih rendah berbanding dengan HP pada RPM tinggi. Prestasi ini membolehkannya lebih senang ditunggang ketika bermain off-road serta membawa muatan yang banyak.
Brek depan menggunakan cakera tunggal dan brek belakang juga merupakan brek cakera. Rim depan berukuran 19-inci dan rim belakang ialah 17-inci. Prabeban spring monoshok belakang boleh dilaras dengan 7 tahap.
Kelegaan tanah ialah 205mm, dengan ketinggian pelana 835mm. Jarak pelana itu mungkin agak tinggi bagi sebahagian penunggang jadi Suzuki turut menawarkan aksesori pelana rendah 815mm. Keberatan motosikal ialah hanya 164kg.
Ciri-ciri lain yang standard termasuk pelindungan tangan, pelindung enjin, skrin LCD, port pengecas USB.
Terdapat tiga warna iaitu Champion Yellow Number Two, Pearl Blaze Orange, dan Glass Sparkle Black.
Motosikal ini dijual di Jepun pada harga JPY569,800 (RM18,037.15). Adakah ia akan memasukki pasaran Malaysia kelak?
Popular