CFMOTO Malaysia Perkenalkan Segmen “Mini Bike” XO PAPIO
CFMOTO Malaysia dengan bangganya telah melancarkan satu model serba baru dalam kategori Mini Bike iaitu CFMOTO XO PAPIO. Dari segi rupabentuknya model ini memang sangat unik dan comel. Hadir dengan penggayaan café racer serta lengkap dengan fairing di bahagian hadapan.
Jentera ini dikuasakan oleh enjin bersesaran 126cc, silinder tunggal, sistem sejukan udara beserta sistem suntikan bahan api. Enjinnya mampu menghasilkan kuasa maksimum 9.4hp pada 8,500rpm dan nilai torknya 8.3Nm pada 6,500rpm.
Walaupun hanya sebuah Mini Bike, XO PAPIO turut disempurnakan dengan sistem ABS dua saluran yang bertindak balas sebagai keselamatan ketika membrek dengan kuat atau kecemasan agar tayar tidak mudah terkunci. Di bahagian hadapan dipermantapkan lagi dengan sepasang lampu utama jenis LED yang memiliki kecerahan lima kali lebih tinggi dari PAPIO terdahulu.
Dari segi keselesaan, model ini menggunakan saspensi hadapan jenis terbalik manakala bahagian belakang dipadankan dengan penyerap hentak tunggal yang menawarkan keselesaan dan kestabilan ketika menunggang. Pelana buat penunggang dan pembonceng dipisahkan supaya penumpang belakang tidak mudah tergelincir ke hadapan.
CFMOTO XO PAPIO ditawarkan pada harga asas RM8,888 (tanpa insurans & cukai jalan). Terdapat tiga pilihan warna yang menarik iaitu Nebula White, Fiery Red dan Moss Green. Dengan setiap pembelian jentera ini, pemilik akan menerima waranti selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 kilometer (yang mana terdahulu). RR
Popular