Modenas Dominar D400 Adventure & Dominar D250 Diperkenalkan
Bersempena dengan Acara Malaysia Autoshow 2023 di MAEPS Selangor, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah melancarkan dua model baru iaitu Dominar D400 Adventure (versi naiktaraf) dan Dominar D250.
Modenas Dominar D400 merupakan sebuah jentera touring yang telah menerima kemaskini pertama pada tahun 2021 di mana model ini dinaiktarak dari segi sistem perkakasannya termasuklah dari segi peningkatan kuasa.
Untuk tahun 2023, EMOS telah melancarkan versi terkini Dominar D400 Adventure yang mematuhi emisi EURO4. Terdapat juga beberapa aksesori yang dipadankan pada jentera ini antaranya cermin penghadang angin lebih tinggi, pelindung tangan serba baru, pelindung kaki, pelindung enjin, penyandar belakang untuk penumpang dan tempat meletakkan telefon bersama pengecas USB.
Dari segi spesifikasi enjin masih sama, model ini menggunakan enjin 373cc, DOHC dengan sistem penyejuk cecair yang menawarkan kuasa maksimum 29.4kW dan tork 35Nm. Ciri-ciri lain yang ada pada Dominar ini adalah saspensi hadapan jenis terbalik 43mm, saspensi belakang jenis Nitrox, sistem ekzos berkembar, brek cakera 320mm (depan), brek cakera 230mm (belakang) dan sistem ABS dua saluran.
Modenas Dominar D400 Adventure boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Savanna Green dan Charcoal Black dengan harga jualan yang disyorkan RM15,797 (tanpan insurans & cukai jalan).
Selain model Dominar D400 Adventure ke dalam pasaran negara, EMOS juga turut memperkenalkan model Dominar yang lebih kecil iaitu Modenas Dominar D250.
Walapun nampak sama macam abangnya tetapi Dominar D250 ditawarkan dengan enjin yang lebih kecil di mana model ini dijana dengan enjin silinder tunggal, 249cc, DOHC dengan sistem penyejuk cecair. Model ini menghasilkan kuasa maksimum 19.9kW pada 8,500rpm dan tork 23.5Nm pada 6,500rpm. Enjin bertransmisi 6-kelajuan ini turut disempurnakan dengan sistem klac jenis Assist & Slipper.
Antara kelengkapan lain yang ada pada Dominar D250 adalah saspensu hadapan jenis terbalik 37mm, berat 180kg, tangki bahan api 13 liter, brek cakera 300mm (depan), brek cakera 230mm (belakang) serta sistem ABS dua saluran.
Walaupun kuasa enjinnya lebih rendah berbanding dengan Dominar D400, model touring 250cc ini menawarkan keupayaan dan keselesaan menunggang jarak jauh yang sama.
Modenas Dominar D250 ditawarkan pada harga RM13,797 (tanpa insurans & cukai jalan) dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Racing Red, Sparkling Black dan Citrus Rush. RR
Popular