Isu Terkini

Julai 2024

Model Baru / 10 September 2019

DUCATI Lancarkan 9 Model Baru Untuk Tahun 2019

Next Bike Sdn Bhd selaku pengedar rasmi jenama Ducati di Malaysia telah melancarkan sembilan buah model terkini yang semestinya merancakkan lagi pasaran motosikal tempatan. Model-model ini mula diperkenalkan buat pertama kali di Ducati World Premiere 2019, Milan dan telah menarik minat jutaan para pencinta motosikal di seluruh dunia. Model-model yang dimaksudkan ini ialah Panigale V4 R, Diavel 1260 S, Hypermotard 950, Multistrada 950 S, Multistrada 1260 Enduro serta siri Scrambler terbaru seperti Icon, Full Throttle, Desert Sled dan Café Racer.

Panigale V4 R. Model ini telah menerima anugerah ‘Best-Looking Bike of EICMA 2018’ dan sememangnya memiliki platform seperti jentera perlumbaan Superbike World Championship 2019 yang membolehkan ia meratah setiap selekoh dengan cemerlang, pecutan luar biasa dan pakej keselamatan yang berteknologi tinggi. Model yang cukup mantap ini didatangkan dengan enjin 998cc Desmosedici Stradale R yang lebih ringan untuk mempertingkatkan keupayaan memecut. Enjin ini menawarkan kuasa setinggi 221hp pada 15,250rpm atau 2,250rpm lebih tinggi berbanding model 1,103cc V4.

Model ini direka cukup aerodinamik yang jelas kelihatan menerusi rupabentuk cermin pengadang udara, fairing hadapan, corong aliran udara cukup efisien yang kini memperbaiki sistem enjin menjadi lebih berkuasa. Bahagian hadapan disempurnakan dengan fork Ohlins 43mm NPX 25/30 manakala penyerapan di belakang dikawal oleh Ohlins TTX36.

Kemantapan prestasi jentera ini turut disumbangkan oleh  sistem elektronik yang dipadatkan seperti ABS Cornering Bosch EVO; Ducati Traction Control EVO (DTC EVO), Ducati Slide Control (DSC), Ducati Wheelie Control EVO (DWC EVO), Ducati Power Launch (DPL), Ducati Quick Shift Up/Down EVO (DQS EVO), Engine Brake Control EVO (EBC EVO), Pit Limiter, Lap Timer EVO, Panel meter TFT, Ducati Data Analyser (DDA+) beserta modul GPS dan Ducati Multimedia System (DMS).

Panigale V4 R ternyata antara jentera jalanan yang sangat pantas dan selamat. Ia ditawarkan pada harga RM299,900.

Diavel 1260 S telah diperkenalkan secara eksklusif kepada Desmo Riders Club Malaysia (DOCM) pada bulan Mei yang lalu. Ternyata, model ini mempunyai personaliti, rekabentuk, pengendalian yang mantap dan spesifikasi enjin yang mengagumkan. Diavel adalah gabungan di antara prestasi enjin jentera jalanan dan kecemerlangan ergonomik sebuah mesin cruiser. Ia disempurnakan dengan enjin Testastretta DVT 1262 yang berkuasa 159hp pada 9,500rpm dan tork 129Nm pada 7,500rpm.

Diavel baru ini juga dilengkapi dengan set-up casis yang telah dimantapkan agar segala pergerakan dikawal dengan sempurna oleh sesiapa sahaja yang menunggang jentera ini. Dengan adanya teknologi dan sistem elektronik canggih, menunggang jentera ini pastinya memberi kepuasan buat para pencinta Ducati di Malaysia. Tidak hairanlah model ini menerima gelaran “Red Dot Award 2019: Best of the Best.”

Sebagai tambahan, Diavel 1260S dilengkapi dengan saspensi Ohlins boleh laras, sistem Quick Shift Up & Down. Bosch Cornering ABS EVO, Ducati Traction Control (DTC) EVO, Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, Ducati Power Launch (DPL) EVO dan Cruise Control. Untuk diselarikan dengan kemantapan teknologi yang terdapat pada model ini, pergerakan tayar-tayar dikawal oleh sistem brek jenis Brembo 320mm di depan dan 265mm di belakang.

Sesiapa sahaja akan mengagumi jentera ini lebih-lebih lagi jika melihatnya dari dekat. Ia dilengkapi dengan tayar-tayar Pirelli DIABLO Rosso III gemuk bersaiz 120/70 ZR17 (depan) dan 240/45 ZR17 di belakang. Miliki jentera yang cukup hebat ini pada harga RM139,900.

Hypermotard 950  ini dicintai oleh para pencinta motosikal dengan sifat sporty dan bentuk yang agresif. Untuk model baru ini, ia ditambah pula dengan kemantapan sistem elektronik yang terkini. Enjin silinder-kembar Testastretta 11˚ 937cc yang berkuasa 114hp pada 9,000rpm dan tork 9.8kgm pada 7,250rpm. Kelincahan model Hypermotard ini membolehkan ia menjadi pilihan penunggang untuk ke mana sahaja tidak kira di jalan raya, dalam bandar mahupun mendaki kawasan tinggi yang berliku.

Model baru ini turut disempurnakan dengan Ducati Multimedia System (DMS) yang membolehkan penunggang dapat membuat penyambungan multimedia terus ke telefon pintar masing-masing. Dengan penggunaan panel meter TFT, segala maklumat dan talaan dapat dilihat dan dipilih dengan mudah. Lebih mengujakan, Hypermotard 950 SP dipadankan dengan sepasang tayar Pirelli DIABLO Supercorsa SP yang mencengkam permukaan jalan dengan cemerlang dan kedua-duanya dikawal oleh brek-brek Brembo. Ia dijual pada harga RM75,900 manakala versi SP RM117,900.

Multistrada 1260 Enduro pula adalah pilihan utama buat para pencinta jentera pengembaraan yang inginkan sebuah jentera yang bergaya, tahan lasak tanpa perlu risau akan jenis laluan yang bakal ditempuhi. Model ini didatangkan dengan enjin Testastretta DVT dengan kuasa maksimum setinggi 13hp pada 9,000rpm dan 96Nm pada 7,750rpm. Dengan adanya Ducati Quick Shift Up/Down (DQS) yang memudahkan penggunaan sistem gear, lampu-lampu LED, 5" panel meter TFT, sistem Cruise Control, Ducati Traction Control, Ride by Wire dan Ducati Wheelie Control, turut menjadikan model ini lebih mantap.

Kelebaran pelana jentera ini membolehkan penunggang dan pembonceng menikmati ribuan kilometer perjalanan dengan selesa dan menyeronokkan. Ducati Multistrada 1260 Enduro turut dilengkapkan dengan Ducati Skyhook Suspension Evo yang membantu pergerakan jentera ini lebih stabil di semua jenis permukaan jalan sekaligus mengelakkan jentera ini daripada bergoyang yang mengganggu perjalanan. Model 1260 Enduro boleh dimiliki pada harga RM138,900 (Merah) dan RM139,900 (Sand).

Multistrada 950 S merupakan model yang telah dipertingkatkan agar memberikan pengalaman menunggang lebih selamat dan menarik buat setiap pemiliknya. Seperti abangnya 1260 Enduro, Multistrada yang lebih kecil ini turut lengkap dengan 6-axis Bosch IMU (Inertial Measurement Unit), Bosch Cornering ABS, Vehicle Hold Control (VHC), Ducati Skyhook Suspension Evo, Cruise Control dan Ducati Quick Shift. Harga untuk model ini ialah RM95,900.

Siri Ducati Scrambler turut diberi nafas baru agar lebih menarik dan memenuhi kehendak para peminat motosikal yang kini semakin bijak. Siri ini masih mengekalkan empat model sedia ada seperti Scrambler Icon, Full Throttle, Desert Sled dan Café Racer tetapi kini telah diberi peningkatan dari pelbagai segi seperti penggunaan lampu-lampu Daytime Running Light (DRL), lampu isyarat LED, sistem Bosch Cornering ABS, Ducati Multimedia System yang membolehkan penunggang dapat menikmati perjalanan sambil mendengar alunan muzik yang menarik.

Antara ciri-ciri menarik lain yang dimiliki oleh Ducati ini ialah sistem ekzos dual tailpipe, bar hendal aluminium, fairing hadapan cafe racer dan set tayar Pirelli SCORPION Rally ST yang cukup cemerlang. Harga untuk modelmodel Scrambler adalah berbeza iaitu Scrambler Icon RM52,900, Scrambler Full Throttle RM62,900 manakala Scrambler Desert Sled dan Scrambler Cafe Racer masing-masing ditawarkan pada harga RM67,900. RR

Isu Pada

September 2019

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

Moto Morini Calibro 700 Masuki Pasaran Negara. Harga bermula RM35,888

Ducati Perkenalkan Panigale V2 & Streetfighter V2 Baru di Milan

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

EICMA 2024: Nikmati Dunia Pengembaraan Dengan Voge Valico 800DS Rally

HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR 6MRO Edisi Terhad – RM13,668

EICMA 2024: Fantic Caballero 700 Edisi Khas - Deluxe & Travel

EICMA 2024: Honda Perkenalkan CL500, Jentera Retro Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Boon Siew Honda (BSH) telah merasmikan pembukaan Honda Bigwing yang pertama di Melaka.

Model Baru

EICMA 2024: Nikmati Dunia Pengembaraan Dengan Voge Valico 800DS Rally

Voge menggunakan pentas global iaitu EICMA untuk melancarkan model kembara terbarunya iaitu Valico 800DS. Ia adalah sebuah jentera yang memberi cabaran dalam segmen Kembara/Adventure

Model Baru

EICMA 2024: Yamaha R3 'Kemas Kini' Lebih Mantap!

Berikutan pelancaran R9 baru tempohari, Yamaha memilihi 'pentas' EICMA untuk memperkenalkan model yang dikemas iaitu R3 untuk pengeluaran tahun 2025.

Model Baru

Yamaha Europe Perkenalkan Tracer 9, Tracer 9 GT & Tracer 9 GT+ 2025

Yamaha Motor Europe telah memperkenalkan rangkaian Sport Touring mereka bagi tahun 2025 iaitu Yamaha Tracer 9, Tracer 9 GT dan Tracer 9 GT+ Y-AMT.