YAMAHA EGO-S: Enjin & Rekabentuk Serba Baru
Motosikal automatik paling laris di Malaysia, Yamaha Ego-S kini dipasarkan dengan enjin dan gaya serba baru. Ego-S ini dilengkapi dengan enjin pancitan bahan api (FI) yang pastinya menjanjikan prestasi lebih lancar dan penjimatan yang mengagumkan.
Selain enjin serba baru, tarikan utama Ego-S ini datangnya daripada rekabentuk yang amat berbeza dengan model sebelum ini. Paling ketara ialah rekaan lampu hadapannya yang lebih besar dan cantik khusus untuk pencahayaan maksimum. Untuk mengimbangi rekaan lampu hadapan, lampu belakang Ego-S baru ini juga dihasilkan dengan cukup kemas.
Ruang barang bawah pelana yang luas memudahkan kita menyimpan barang atau beg tangan, sesuatu tawaran yang cukup ditunggu-tunggu oleh penunggang hawa yang ingin menunggang dengan selamat. Kunci utama Ego-S juga dilengkapi dengan penutup kunci anti-kecurian yang terbukti telah banyak mengelakkan berlakunya kes kecurian motor.
Menurut En. C.H Ng, Pengarah Urusan HLYM pihak syarikat ternyata amat yakin dengan produk baru ini dengan meletakkan sasaran penjualan sebanyak 30,000 unit pada tahun 2014 berdasarkan beberapa perubahan hebat yang dilakukan pada Ego-S ini. Ego-S baru ditawarkan pada harga RM4,918 dengan empat pilihan warna iaitu hitam, biru, merah dan putih.
Turut diperkenalkan ialah pelincir terbaru Yamalube Carbon Cleaner yang bakal membersihkan karburetor, port suntikan bahan api, manifold, injap dan kebuk pembakaran. Pelincir ini juga mencegah palam pencucuh daripada mudah kotor dan mengurangkan gangguan enapan yang berlaku dalam kebuk pembakaran (CCDI) juga dikenali sebagai Carbon Rap. Dengan perlindungan yang diberikan, penggunaan bahan api akan menjadi lebih jimat, pecutan lebih lancar dan mengembalikan prestasi kepada yang lebih baik.
Penggunaan pelincir ini mudah sahaja dengan menambahkannya ke dalam tangki petrol mengikut kadar yang ditetapkan. Satu botol Yamalube Carbon Cleaner (75ml) dimasukkan ke dalam tangki petrol berkapasiti kurang 5 liter kemudian diisi dengan petrol hingga penuh. Tangki lebih daripada 5 liter memerlukan dua botol Yamalube Carbon Cleaner dan penggunaannya disyorkan untuk setiap 3,000km. Pelincir ini dijual pada harga RM11.80 sebotol. RR
Popular