MBP Perkenalkan Model Cruiser C650V
Moto Bologna Passione (MBP Moto) diasaskan pada tahun 2022 oleh Keeway Motor Group yang beroperasi di Bologna, Itali. Terbaru, MBP telah melancarkan sebuah jentera cruiser iaitu C650V untuk tahun 2023 nanti. Model baru ini menampilkan gaya dan rekabentuk unik yang memastikannya lebih menyerlah di jalan raya.
Dari segi rekabentuknya, C650V nampak tegap dan sasa. Lihat sahaja pada lampu utamanya jenis LED yang agak besar, kerangka yang mantap, sistem ekzos berkembar dan sistem saspensinya.
Cruiser ini dilengkapkan dengan enjin dua silinder V-kembar, 647cc yang memberikan kuasa maksimum 51kW (68hp) pada 8500rpm dan tork 62Nm pada 7000rpm. Kelajuan tertinggi jentera ini dikatakan mencecah 175km/j (108.74mph) dan ini menunjukkan bahawa C650V memiliki prestasi yang cukup mantap.
Paparan meter jenis TFT 5" memudahkan para penunggang melihat segala informasi dengan mudah dan tepat. Brek hadapan C650V jenis cakera berkembar Nissin dengan sistem ABS dan hanya satu brek di bahagian belakang. Kadar penyerapan di bahagian belakang dibantu oleh penyerap hentak dwi hentakaan jenis KYB dengan lima tahap pelarasan. Turut ditawarkan ialah tempat menyandar (backrest) yang cukup penting demi keselesaan pembonceng khususnya ketika perjalanan jauh.
Harga untuk C650V masih 'dirahsiakan' tetapi dinyatakan bahawa model ini akan mula berada di pasaran Eropah pada suku pertama tahun 2023. Menarik! RR
Popular