Benelli BKX 250 dan BKX 250 S Dilancarkan di EICMA. Jangka Masuki Malaysia 2023
Untuk memberikan sesuatu yang baru, segar dan mantap buat generasi model pencinta motosikal, Benelli telah menggunakan 'pentas' EICMA tahun ini untuk melancarkan dua model cukup mantap iaitu BKX 250 dan BKX 250 S.
Kedua-dua motosikal ini berkongsi enjin 250cc yang sama, dengan keupayaan menjanakan kuasa setinggi 25.8 hp (19 kW) pada 9,250 rpm dan 21 Nm pada 8,000 rpm. BKX 250 ialah sebuah jentera pengembaraan manakala BKX 250 S pula model jalanan yang menampilkan rekabentuk moden yang cukup menarik.
Kedua-dua model baru ini didatangkan dengan rangka jenis tiub keluli, fork 41mm jenis terbalik, kotak gear 6 kelajuan dan spring tunggal boleh laras tetapi bahagian dimensi casis, rim dan saiz tayar memang berbeza. Bahagian sisi kanan model biasa dan 'S' dimantapkan dengan fairing sisi aerodinamik serta rupabentuk ekzos yang padu.
BKX 250 memiliki rekaan futuristik yang dapat kita lihat dengan jelas menerusi bentuk lampu utama jenis LED bentuk moden (terbahagi dua) yang memberikan suluhan cukup sempurna di waktu siang dan malam. Posisi menunggangnya tegak dan natural – sesuai untuk tunggangan dekat mahupun jauh.
Saiz tayar untuk model kembara ini adalah 100/90-19 (depan) dan 140/80-17 (belakang) yang dikawal cukup cemerlang oleh brek-brek cakera beserta sistem ABS.
Model BKX 250 S pula menawarkan konsep rekabentuk yang hampir sama. Lampu LED di bahagian depan dipadankan dengan 'peak' kecil yang unik untuk sebuah jentera 'street'. Enjin model ini juga dilindungi dengan plat penahan manakala tangki bahan apinya bersaiz 13.5 liter.
Gabungan warna kelabu dan kuning 'fluorescent' tampak cukup terang walaupun di dalam suasana yang agak gelap. Model ini juga menggunakan sistem ekzos berposisi agak tinggi yang mengingatkan kita dengan model-model 'offroad'.
Benelli telah melengkapkan BKX 250S ini dengan tayar bersaiz 110/70-ZR17 depan 150/60-ZR17 belakang yang juga dikawal oleh sistem ABS.
Menurut sumber, dijangkakan model ini akan berada di pasaran negara pada suku keempat tahun hadapan. RR
Popular