Honda Vario 160 Masuki Pasaran Negara
Persaingan segmen skuter di pasaran negara kini semakin meriah selepas Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) memperkenalkan skuter premium 'Sporty' baharu mereka iaitu Honda Vario 160. Model baru ini menampilkan aspek inovatif terkini menerusi enjin, rekabentuk, kerangka serta ciri-ciri terbaru.
Berbanding dengan Vario 150, rekabentuk keseluran skuter baru ini tampak lebih segar, lebar dan menawan. Pandangan di bahagian hadapanya memang cukup agresif menerusi lampu utama yang jenis LED beserta Daytime Running Light (DRL). lampu belakang dan lampu isyarat juga adalah LED. Penunggang dapat melihat segala informasi penting seperti tahap kelajuan, jarak perjalanan, bahan api, masa, Smart Key dan penunjuk ABS dengan jelas menerusi paparan meter digitalnya.
Perubahan yang paling ketara sudah tentu di bahagian enjin. Skuter baru ini didatangkan dengan enjin bersesaran 157cc, 4 lejang yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 11.3kW pada 8,500rpm dan nilai torknya 13.8Nm pada 7,000rpm. Enjin ini turut disempurnakan teknologi enhanced Smart Power Plus (eSP+) yang terkini untuk kecekapan bahan api ketika menungang.
Untuk keselesaan, kerangka pada Vario 160 dibina dengan teknologi enhanced Smart Architeture Frame (eSAF) yang lebih ringan dan tahan lasak untuk pengendalian lebih lincah dalam tunggangan harian di bandar mahupun luar bandar.
Sebagai ciri keselamatan, pihak Honda turut melengkapkan model ini dengan sistem Honda Smart Key yang dilengkapi dengan sistem penggera keselamatan dan panggil balik untuk memudahkan pemilik mencari lokasi motosikal yang di parking. Vario 160 dilengkapi brek cakera beserta sistem ABS di bahagian hadapan, manakala belakang juga menggunakan brek jenis cakera. Rim 14 inci dipadankan dengan saiz tayar lebih lebar di bahagian hadapan iaitu 100/80 dan belakang bersaiz 120/70 .
Terdapat pengecas USB Type A yang tersedia untuk mengecas tanpa mengunakan alat tambahan. Penunggang juga boleh menyimpan barangan keperluan di ruang bawah pelana yang seluas 18 liter.
Pada hari pelancaran, RR berpeluang untuk merasa pengalaman menunggang Honda Vario 160 ini di Aylezo Speedzone Go Kart & Mini GP Bike Circuit, Shah Alam. Walaupun sesi tunggang uji itu singkat, kami dapat rasakan hantaran kuasa pada jentera ini memang cukup mantap. Pergerakan kuasa enjinnya sangat lancar dan lembut sekali. Pelanannya tidak begitu keras, sesuai untuk tunggang jarak jauh dan dekat.
Dengan berat jentera 119kg, kami dapat memacu jentera ini dengan mudah. Cukup ringan untuk dilarikan ke kiri dan kanan. Sistem brek dan ABS ternyata bekerja dengan baik sekali. Jentera dapat diberhentikan dengan jarak yang selamat. Tayar-tayar yang lebar menggigit permukaan jalan dengan sempurna. Kami begitu yakin untuk memiringkan sedikit jentera ini ketika mengambil selekoh.
Bukan sahaja di bawah pelana, di bahagian hadapan juga terdapat dua ruangan kecil (yang ada penutup di sebelah kiri) untuk meletakkan barangan kecil seperti telefon bimbit, kunci, dompet atau lain-lain. Dari segi rekabentuknya kami sangat berpuas hati. Kami bandingkan dengan Vario 150, ternyata yang generasi baru dengan enjin 160cc ini lebih menawan.
Menurut pihak honda, Honda Vario 160 boleh didapat di semua pengedar sah Honda bermula bulan Februari 2023. Model ini ditawarkan pada harga bilik pameran yang disyorkan RM9,998 untuk tiga pilihan warna iaitu Vivacity Red, Pearl Nightfall blue dan Sword Sliver Metallic. Manakala untuk warna Mat Charcoal Grey Metallic boleh didapati pada harga RM10,298. Dengan setiap pembelian jentera skuter ini, para pelanggan layak menerima jaminan kilang selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (yang mana terdahulu) tanpa pendaftaran, insurans dan cukai jalan. RR
Popular