KTM Malaysia Perkenal Adventure 1050!
Selepas kejayaan memperkenalkan sembilan model iaitu DUKE 200, 250, 390, 690 dan keluarga RC seperti 200, 250 dan 390, KTM Malaysia (dahulunya dikenali dengan nama KTM Malaysia CKD) telah memperkenalkan model terbaru 1050 Adventure, sebuah jentera dual purpose yang menawarkan bukan sahaja keselesaan optimum tetapi juga rekabentuk luaran yang cukup ranggi dan lasak.
Pengenalan kepada jentera baru ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Eurotech Manufacturer SB, YAM Dato' Seri Syed Badlishah Ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail ditemani oleh Dato' Chia Beng Tat (CEO Eurotech Manufacturer SB) dan En. Gianluca Lozzi (Pengurus Besar S.E.A KTM Sportmotorcycle GMBH) pada bulan Oktober lalu.
Kemantapan jentera baru ini dihasilkan daripada enjin 1,050cc, dua silinder yang memiliki kuasa maksimum 95hp pada 6,200rpm dan tork maksimum 107Nm pada 5,750rpm. Cukup berkuasa bagi sebuah jentera yang sering kali digunakan untuk membawa pembonceng dan bebanan hampir ke mana sahaja. Kerangkanya jenis trellis yang dibuat menggunakan chromiummolybdenum – memberi keyakinan kepada pemiliknya untuk mengendali dengan baik tidak kira ketika memecut laju mahu pun di selekoh tajam.
Dari segi kelengkapan dengan teknologi terkini, motosikal ini dilengkapkan dengan pakej RbW (ride by wire), mod tunggangan (street, sport, rain dan offroad) dan traction control. KTM turut mempertingkatkan sistem keselamatan 1050 Adventure ini dengan adanya sistem slipper clutch agar tayar tidak mudah terkunci ketika proses membrek dilakukan. Model ini didatangkan dengan sistem brek cakera jenis Brembo serta sistem penuh ABS.
Untuk menikmati kehebatan 1050 Adventure baru ini, pihak KTM telah menganjurkan aktiviti pengembaraan motosikal khusus untuk 20 pemilik terawal 1050 Adventure ke seluruh semenanjung negara pada akhir September lalu. Antara destinasi pilihan yang mereka lawati ialah Pulau Pinang, Litar Antarabangsa Sepang (MotoGP Malaysia 2015), Johor, Pahang dan Perak.
KTM Malaysia turut mempertontonkan model baru pada para peminat jentera dua roda di tapak promosi KTM di Litar Antarabangsa Sepang sempena perlumbaan MotoGP Malaysia yang berlangsung pada 23-25 Oktober lalu. KTM 1050 Adventure ditawarkan pada harga asas RM77,888. RR
Popular