BMW F700 GS & F800 R Dilancarkan!
BMW Motorrad Malaysia dengan bangganya telah memperkenalkan dua buah model terbaru iaitu BMW F 700 GS dan F 800 R pada 19 Oktober lalu bertempat di kilang BMW Mottorad di Rayong, Thailand. Menurut En. Alan Harris, Pengarah Urusan dan CEO BMW Motorrad, kehadiran kedua-dua jentera ini akan memberikan peluang kepada para pengguna motosikal di Malaysia untuk menikmati tunggangan yang menyeronokkan dan selamat.
Beliau juga menambah, “Model baru ini juga diibaratkan seperti 'kunci' utama memperkenalkan jenama BMW kepada para pelanggan baru yang pastinya akan mendapati kedua-dua jentera ini mempunyai saiz enjin dan teknologi terkini untuk penunggang novis. Sehingga September 2015, BMW Motorrad merekodkan peningkatan prestasi perniagaan sehingga 123% berbanding tahun lepas dengan penghantaran sebanyak 745 buah motosikal.” Seperti mana kejayaan yang pernah dikecapi oleh model F 650 GS, model baru F 700 GS ini dihasil untuk memberikan inspirasi kepada para pencinta motosikal untuk memulakan pengembaraan hebat tidak kira di jalanan biasa mahu pun offroad dengan enjin 798cc yang berkuasa 75hp dan tork 77Nm. Sebagai jentera mesra penunggang terutamanya di negara-negara Asean, BMW turut menawarkan pilihan tempat duduk rendah untuk pengendalian yang lebih rendah.
F 700 GS ini dijual pada harga asas RM56,900 dengan tiga warna pilihan iaitu Alpine White, Blackstorm dan Racing Blue.
Model roadster, F 800 R pula bersifat lincah dan pengendalian yang cukup mengagumkan. Ia adalah kombinasi terbaik untuk tunggangan di jalanan mahu pun di kawasan luar bandar. Seperti model F 700GS, ia juga dilengkapi dengan enjin 798cc, pancitan bahan api, kotak gear enam kelajuan dan sistem brek ABS. Model F 800 R menawarkan kuasa setinggi 87hp dan tork maksimum 86Nm yang sudah tentu memberikan kepuasan buat penunggang dari pelbagai latar belakang, usia dan jantina. Model ini juga dilengkapi dengan pelana lebih rendah demi memberikan pengendalian yang lebih mudah.
Model F 800 R turut hadir dengan varian Sport yang mempunyai penambahan inovasi terkini seperti ASC (Automatic Stability Control), ESA (Electronic Suspension Adjustment) dan sistem unik RDC (Tyre Pressure Control) agar tekanan tayar sentiasa berada dalam keadaan yang sempurna. BMW R 800 R didatangkan dengan warna Racing Blue Metallic dan Light White yang berharga RM49,900 dan RM53,500 untuk varian Sport. RR
Popular