CMC TEKKEN 250 : Untuk Penunggang Lasak
Selepas mendapat sambutan yang cukup menggalakkan menerusi model CMC400, Chear Global Sdn Bhd yang juga pengedar tunggal CMC telah memperkenalkan sebuah lagi model terbaru iaitu Tekken 250. Kehadiran model baru ini ternyata memberi para pelanggan lebih pilihan terutamanya dalam segmen supermotard atau jalanan. Majlis pelancaran Tekken 250 ini telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden Kumpulan Syarikat Mofaz, Dato' Nik Izani bin Nik Ibrahim ditemani oleh Dato' Chear Kin Keong (Pengerusi Chear Global SB). “
Model baru kami dijangka mewujudkan satu dimensi baharu dalam pengalaman dan keseronokan menunggang. Ia sesuai untuk pelbagai jenis tunggangan tidak kira lasak, santai atau untuk berulang alik ke tempat kerja,” kata Ketua Pegawai Operasi CMC, En. Leong King Choon.
Model baru ini dilengkapi dengan enjin SOHC, satu silinder, sejukan udara yang mantap dengan sistem transmisi 6-kelajuan. Tekken 250 menawarkan kuasa maksimum 16.5bhp pada 7,000rpm dan tork maksimum 17.0Nm pada 6,500 rpm, menjanjikan prestasi optimum dalam semua jenis keadaan. Selain kuasa enjinnya yang mengagumkan, Tekken pasti menarik perhatian ramai pengguna menerusi rekabentuknya yang cukup mantap terutamanya di bahagian hadapan yang dilengkapi dengan lampu posisi LED, ruang kemasukan udara dan paruh (peak).
Demi keselamatan penunggang, model ini juga didatangkan dengan sistem brek jenis cakera di hadapan dan belakang. Untuk membuktikan kelincahan dan kepantasan Tekken 250, aksi tunggangan lasak telah dipertontonkan oleh dua orang pelumba hebat dari Malaysia (Mohd Khairi) dan China (Xiao Yu). Gaya dan kemahiran kedua-dua pelumba ini mengendalikan jentera CMC mendapat tepukan gemuruh daripada setiap hadirin.
Tekken 250 boleh dimiliki pada harga RM9,888.00 (sebelum GST) untuk varian rim berjejari dan RM10,800.00 (sebelum GST) untuk varian rim jenis tetuang. RR
Popular