KAWASAKI Z250 ABS Z400 SE ABS
Tahniah buat Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) di atas pelancaran dua buah model terkini iaitu Z250 dan Z400. Penampilan kepada dua buah jentera jalanan yang cukup mantap ini telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri Malaysia, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Turut hadir menyerikan majlis pada malam tersebut ialah Pengerusi Eksekutif KMSB, En. Ahmad Faez Tan Sri Yahaya. “Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-30 KMSB, kami ingin memperkenalkan dua buah model terkini berkonsepkan 'Sugomi' yang menawarkan prestasi enjin dan kemantapan rekabentuk luaran yang telah dipertingkatkan. Model-model jalanan ini menjanjikan pengendalian yang mudah, hantaran kuasa mantap serta sifat lincah untuk bergerak pantas di semua laluan,” kata beliau.
Z400 SE ABS disempurnakan dengan enjin empat lejang, 399cc, sistem penyejuk cecair, DOHC yang memiliki kuasa maksimum setinggi 45PS pada 10,000rpm dan tork 38.0 Nm pada 8,000rpm. Model ini didatangkan dengan kerangka jenis trellis yang direka cukup bijak untuk posisi menunggang yang selesa. Fork hadapan jenis teleskopik dan penyerap hentak bergas di belakang menjanjikan kelincahan optimum di setiap pergerakan.
Z400 SE ABS tampak garang dengan lampu-lampu LED berkembar yang direka baru, panel meternya cukup jelas manakala sistem klac 'assist & slipper' menawarkan kawalan lebih mudah dan selamat. Untuk diserasikan dengan kemantapan enjinnya, Z400 ini dikemaskan dengan brek hadapan jenis cakera 310mm dan belakang 220mm yang cukup efisien.
Model Z250 ABS pula menawarkan enjin 249cc, DOHC dengan kuasa maksimum 27.5kW (37PS) pada 12,500rpm dan tork 23.0Nm pada 10,000rpm. Pengendalian jentera ini di jalanan biasa atau di laluan lasak cukup mudah kerana ia dilengkapkan dengan fork hadapan teleskopik 41mm, penyerap hentak bergas, brek hadapan bersaiz 310mm dan belakang pula 220mm membantu pergerakan lebih lancar. Untuk tunggangan lebih selamat, kedua-dua model turut dilengkapi dengan sistem ABS dan pengendalian yang mantap.
Harga yang ditawarkan untuk model Z250 ABS ialah RM21,998 manakala model Kawasaki Z400 SE ABS berharga, RM28,755. RR
Popular