Yamaha Eropah Lancarkan Model Lasak YZ450F
Untuk tahun 2023, Yamaha memberi tumpuan dalam pembangunan model baru YZ450F yang lebih ringan, laju dan mudah ditunggang. Model baru ini disempurnakan dengan enjin baru yang disepadukan pada casis lebih ringan dan rekabentuk luaran dengan ergonomik terkini. Para jurutera Yamaha telah menghasilkan kerangka aluminium 'Bilateral Beam' baru yang menjadikan pergerakan jentera ini lebih tepat, tangkas dan lebih stabil.
Yamaha memastikan 'hubungan' di antara penunggang dan jentera berada di tahap tertinggi demi mendapatkan prestasi yang optimum lebih-lebih lagi dalam dunia motocross yang memerlukan pecutan, lompatan tinggi, brek dengan keras dan kelincahan di selekoh.
Enjin YZ450F 2023 direka sepenuhnya baru. Setiap komponen dinilai dan dianalisa semula. Omboh baru, silinder lebih ringan, cam chain bergeseran rendah dan engkol juga telah direka semula. Pembaharuan ini memberikan peningkatan tahap rev sekitar 500rpm. Sistem transmisi dan klac juga direka serba baru yang cukup penting untuk disepadankan dengan peningkatan 5% tenaga enjin.
Rekaan luaran baru 'Horizontal Movement' tampak lebih bertenaga. Setiap panel luaran YZ450F ini direka semla dengan menjadikannya lebih ramping dan kompak – sangat penting ketika jentera ini 'diterbangkan'.
Tiga elemen penting iaitu 'Rider Triangle' yang terdiri daripada pelana, bar handel dan tempat pemijak juga telah difikirkan dan dicipta semula bagi menawarkan posisi menunggang yang lebih mantap. Untuk itu, pelananya ditinggikan 5mm, tempat pemijak direndahkan 5mm manakala bar hendal pula boleh dilaras kepada empat posisi mengikut kehendak penunggang.
Sistem Traction Control untuk model ini boleh dilaras kepada dua tahap dan juga boleh dimatikan (OFF). Sistem Launch Control pula kini dilengkapkan dengan 'Rev Limit' yang boleh ditala di antara dari 6,000rpm hingga 11,000rpm. Ini bagi memastikan penunggang jentera ini dapat membuat talaan terbaik untuk melakukan 'full throttle' ketika perlumbaan dimulakan.
Aplikasi Power Tuner untuk model 2023 juga telah dipertingkatkan menerusi 'Quick Tuning' yang berfungsi untuk membuat pilihan terhadap karaktor enjin dengan lebih cepat dan mudah – hanya dengan menggunakan 'scrollbar' untuk membuat pilihan dari 'Smooth' hinggalah 'Aggresif'. Aplikasi baru ini juga memberikan ciri-ciri penambahan seperti Lap Timer, Purata Bahan Api, Purata Kelajuan dan data-data penting yang lain.
Yamaha YZ450F 2023 ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Icon Blue dan Monster Black manakala model edisi Monster Energy Yamaha Racing pula dimantapkan dengan grafik Monster Energy seperti jentera perlumbaan. RR
Popular