Isu Terkini

Julai 2024

Model Baru / 10 Oktober 2015

MODENAS Tampilkan Model Terbaru CT115S!

Tidak dinafikan kemunculan model terbaru dari Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) sangat ditunggu-tunggu oleh para pencinta motosikal tanahair selepas beberapa tahun agak 'menyepi'. Keghairahan dan kesungguhan Modenas untuk mengembalikan kegemilangan produk mereka semakin dirasai apabila kembali bersinar dalam perlumbaan cub prix pada bulan Ogos lalu. Kini, diperkenalkan model terbaru CT115S yang menawarkan rekabentuk, casis dan enjin serba baru.

Dari kiri: Dato’ Radzaif Mohamad, Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohd Khamil Jamil, En. Amirudin Abd Kadir & Dato’ Syed Mohamad Syed Murtaza melancarkan Model terbaru MODENAS CT115S.
Dari kiri: Dato’ Radzaif Mohamad, Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohd Khamil Jamil, En. Amirudin Abd Kadir & Dato’ Syed Mohamad Syed Murtaza melancarkan Model terbaru MODENAS CT115S.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB HICOM Bhd, Tan Sri Dato' Sri Haji Mohd Khamil Jamil dan diserikan lagi dengan kehadiran Dato' Syed Mohamad Syed Murtaza (Presiden Kumpulan DRB HICOM Bhd), Dato' Radzaif Mohamad (Ketua Pegawai Operasi, Pengedaran Automotif dan Pengilangan DRB HICOM Bhd) dan En. Amirudin Abd Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas.

Model terbaru ini merupakan salah satu daripada varian model CT yang dibangunkan 100% oleh unit Penyelidikan dan Pembangunan Modenas yang mengambil masa lebih daripada dua tahun untuk merealisasikannya. “Jentera baru ini dirasakan sesuai untuk para penunggang motosikal berumur 16 hingga 35 tahun. Dengan beberapa ciri-ciri terbaru, kami menyasarkan penjualan sebanyak 1,500 unit dan yakin ia dapat meningkatkan jumlah keseluruhan penjualan motosikal Modenas dalam pasaran negara dari nilai saham 9% kepada 12%,” kata En. Amirudin Abd Kadir.

Keyakinan Modenas pada model baru ini sememangnya berasas kerana ia memang cukup cantik dan bergaya. Enjin bersesaran 115cc ini menawarkan kuasa maksimum 8.8hp pada 9,500rpm dan tork 8.1Nm pada 5,000rpm. Lampu utamanya juga mematuhi tahap piawaian ECE, manakala lampu isyarat dan lampu belakang dihasilkan lebih cerah demi keselamatan para penunggang CT115S.

CT115S dilengkapkan dengan sistem saspensi jenis mono yang boleh dilaraskan pada lima tahap mengikut keselesaan penunggang. Model baru ini juga dilengkapi dengan kotak barang bawah pelana yang cukup luas untuk menyimpan barangan kecil dompet, telefon bersel dan baju hujan nipis. Bagi mereka yang suka mengembara mahu pun yang kena berulang alik ke pejabat, CT115S pastinya menjadi pilihan kerana didatangkan dengan pengecas elektronik 12V.

Turut diperkenalkan di majlis yang sama ialah model Gran Turismo yang lengkap dengan kotak belakang dan sisi berjenama GIVI. Model istimewa ini mempunyai rekacorak grafik yang direka khas oleh GIVI dan bakal berada di pasaran tidak lama lagi.

Susulan dengan perasmian dan pelancaran model baru ini, pihak Modenas turut menganjurkan sesi tunggangan uji bersama media yang diadakan di litar Elite Plus Speedway dua hari selepas pelancarannya. Tujuan acara ini diadakan ialah untuk memberi peluang kepada pihak media merasai sendiri kemantapan dan kelancaran CT115S beraksi di litar. Ini juga peluang keemasan untuk berbual dengan lebih dekat bersama En. Amirudin dan En. Roslee Baharom, Pengurus Jabatan Rekabentuk dan Pembangunan Produk Modenas.

Menerusi sesi tunggangan di litar lebih daripada satu jam itu, beberapa maklumat ringkas dapat RR kongsikan iaitu dari segi kelancaran enjinnya yang kini lebih baik. Jentera seberat 101kg ini cukup lincah, memudahkan kita memasuki setiap selekoh di litar dengan pantas dan meyakinkan. Keluasan ruang pada bar hendal menyumbang kepada pengendalian yang mudah tidak kira penunggang rendah atau tinggi.

Litar sepanjang 900 meter ini bagaikan 'ruang bermain' terbaik buat Modenas CT115S tambahan pula sistem brek yang dilengkapkan pada model ini cukup cemerlang sekali. CT baru ini didatangkan dalam dua warna pilihan iaitu Merah Cherry dan Biru Livia yang boleh dimiliki pada harga RM5,330 (termasuk GST, tanpa insurans dan cukai jalan). RR

Isu Pada

Oktober 2015

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

Moto Morini Calibro 700 Masuki Pasaran Negara. Harga bermula RM35,888

Ducati Perkenalkan Panigale V2 & Streetfighter V2 Baru di Milan

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

EICMA 2024: Nikmati Dunia Pengembaraan Dengan Voge Valico 800DS Rally

HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR 6MRO Edisi Terhad – RM13,668

EICMA 2024: Fantic Caballero 700 Edisi Khas - Deluxe & Travel

EICMA 2024: Honda Perkenalkan CL500, Jentera Retro Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

Boon Siew Honda (BSH) mengumumkan semula pengenalan warna White Trico bersama dengan dua pilihan warna yang baru iaitu Matte Blue dan Sliver.

Dari Litar

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

Gelaran juara keseluruhan CP125 buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar semakin cerah.

Model Baru

MODENAS Eliminator dilancarkan di MotoGP Sepang 2024. Harga asas dari RM30,100

Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS) memilih hari cukup sempurna bersempena 'pesta' MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang untuk melancarkan model terbaru, MODENAS Eliminator.

Warta Roda

Penunggang motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam kemalangan maut...

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu warga emas maut selepas kedua-dua kenderaan tersebut bertembung dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Pan Borneo, di sini pada hari Ahad yang lalu.