Vespa Edisi Notte Hitam itu Menawan
Pada bulan Februari lalu, Naza Premira Sdn Bhd telah memperkenalkan Vespa Edisi Notte ke pasaran Malaysia dalam dua varian iaitu Vespa Notte GTS Super 300 ABS dan Vespa Notte Sprint 150 i-Get ABS. 'Notte' merupakan bahasa Itali untuk 'Malam' dan keistimewaan yang dimiliki oleh jentera serba baru ini datangnya dari semua sudut.
Tarikan utamanya tentulah dari warna dan corak grafik serba hitam yang cukup elegan. Rekabentuk luaran dikemaskan dengan butiran-butiran hitam yang berkilat termasuk cermin, perhiasan seperti 'tali leher' klasik di perisai depan, hujung bar hendal, pemegang pembonceng dan tempat pemijak yang boleh ditanggalkan dari GTS Super Notte. Jika itu masih belum cukup, model baru ini turut diberi sentuhan istimewa pada bahagian rim dan pelindung ekzos.
Vespa Notte GTS Super 300 ABS didatangkan dengan enjin empat lejang, sistem suntikan bahan api, sistem penyejuk cecair yang berkuasa 15.6kW pada 7,750rpm dan tork maksimum setinggi 22Nm pada 5,000rpm. Untuk kepuasan para pemiliknya, model ini turut dilengkapkan dengan sistem ABS dua saluran dan Anti-Slip Regulator (ASR) yang pastinya membantu perjalanan lebih lancar. Model ini ditawarkan pada harga RM29,000.
Vespa Notte Sprint 150 i-Get ABS pula merupakan antara model yang paling digemari. Ia disempurnakan dengan enjin silinder tunggal, 150cc dengan suntikan bahan api yang menawarkan kuasa 9.5kW pada 7,750rpm dan tork 12.8Nm pada 6,500rpm. Model ini juga terkenal dengan sistem transmisi yang cukup lancar, tenang dalam apa juga keadaan dan ianya boleh dimiliki pada harga RM17,700. Untuk melihatnya dengan lebih dekat, kunjungi para pengedar Vespa berhampiran anda. RR
Popular