Model Baru 'Two Stroke' Dari Langen
Di Eropah, enjin dua lejang masih digunakan pada jentera motocross dan ia semakin popular di kalangan para peminat seperti mana yang dirasai pada era 80an dan 90an dulu. Prestasi cemerlang jentera-jentera ini telah dipamerkan oleh para pelumba hebat seperti Coster, David Bailey, Jean-Michel Bayle dan ramai lagi di litar-litar Eropah dan Amerika.
Itu atas tanah tetapi apabila berada di jalan-jalan biasa, ceritanya berbeza sama sekali. Tidak seperti di negara kita, undang-undang mengenai kadar pengeluaran emisi cukup ketat di sana. Ini menyebabkan model-model 'lejen' dulu seperti RG500s, RD500s dan TZ250s sudah jauh ditelan zaman.
Apabila Max Biaggi memacu jentera juara Aprilia RS250 miliknya di GP Itali dalam acara 'Parade Lap' di GP Itali awal tahun lalu, saat itu telah memberikan 1001 perasaan bahawasanya, bunyi enjin dua lejang sentiasa memberi keterujaan dan tidak pernah jemu untuk di dengar.
Langen, pengeluar motosikal British berharap dapat memberikan kepuasan buat para pencinta dua lejang dengan menghasilkan motosikal mereka sendiri yang berkuasa 250cc – namanya pula ialah 'Two Stroke' dengan enjin yang dibeli daripada Vins.
“Enjin-enjin ini dihasilkan oleh bekas jurutera Ferrari di Itali. Ia adalah enjin lumba v-kembar yang dibangunkan untuk kegunaan jalanraya biasa. Kami sedang mempertingkatkan keupayaan jentera menerusi pemetaan-bahan api, tahap kawalan pendikit dan sistem penyejuk. Model ini merupakan model dua-lejang pertama yang memenuhi piawaian standrad tahap pengeluaran emisi,” menurut pemilik Langen, Christofer Ratcliffe.
Ratcliffe menyifatkan ia sebagai 'motosikal dua-lejang paling bersih' pernah dihasilkan dengan nisbah bahan api kepada minyak pada 200:1 berbanding 30:1 untuk motosikal dua-lejang biasa.
Komponen-komponen untuk model 'Two Stroke' ini datangnya dari rantaian pembekal di UK. Langen juga menggunakan sepenuhnya industri aeroangkasa dan F1 untuk menghasilkan jentera 'Two Stroke' Cafe Racer edisi khas.
Dengan teknologi aeroangkasa dan F1 itu, 'Two Stroke' disempurnakan dengan kerangka aluminium bersama panel gentian yang hanya seberat 120kg. Kuasa enjin 76hp pada model ini akan memberikan prestasi lebih mantap jika dibandingkan dengan model empat lejang pada kuasa yang sama. Hanya 100 unit Langen Two Stroke bakal dihasilkan dan ia berharga £28,000 sebelum cukai.
Kini, Langen sedang membangunkan jentera empat lejang dan elektrik. Dalam segmen elektrik, Langen telah menerima pembiayaan inovasi teknologi bateri berskala. RR
Sumber: https://www.visordown.com/
Popular