S 1000XR & R 1200RS : Dua Mesin Terbaru BMW!
BMW Motorrad Malaysia terus maju ke hadapan dengan penambahan dua lagi produk terbaru mereka di pasaran negara iaitu S 1000XR dan R 1200RS. Majlis pelancaran dua jentera hebat ini telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan/CEO Kumpulan BMW, En. Alan Harris dan Ketua Bahagian Motorrad, En. Owen Riley pada 23 Julai lalu.
Dengan pengenalan dua model baru ini pastinya akan melonjakkan jumlah penjualan BMW Motorrad yang semakin meningkat saban tahun. “Sehingga Julai 2015, sebanyak 600 unit motosikal telah berjaya diserahkan kepada para pelanggan dan angka ini telah mengatasi jumlah penjualan tahun lalu yang sebanyak 581 unit. Menjelang hujung tahun ini, kami menyasarkan jumlah penjualan keseluruhan akan mampu mencecah nilai empat angka. BMW yakin model baru ini mampu memenuhi kehendak para pencinta jentera yang sentiasa inginkan gabungan antara kemantapan jentera sport dan keselesaan model dual-purpose,” kata En. Alan.
BMW S 1000XR. Ia adalah sebuah jentera dual-purpose terbaru yang didatangkan dengan enjin 999cc, empat silinder sebaris dengan kuasa maksimum setinggi 160hp dan tork 112Nm. Jika dibandingkan dengan model GS yang lebih cenderung untuk perjalanan yang lasak, model ini ternyata sesuai untuk tunggangan di lebuhraya dan di dalam kota raya kerana bersifat lincah, mantap, bertubuh ramping dan cukup berkuasa.
Untuk lebih mantap dan selamat di jalanraya, model XR ini dilengkapi dengan sistem elektronik terkini antaranya mod tunggangan, Automatic Stability Control (ASC), Dynamic Traction Control (DTC), ABS dan Dynamic Electronic Suspension Adjustment (ESA). Model terbaru S 1000XR ini ditawarkan pada harga RM112,900 termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Bagi mereka yang ingin menikmati kemantapan enjin jenis boxer, model R 1200RS adalah pilihannya. Model ini merupakan kesinambungan model RS yang telah popular sejak puluhan tahun yang lalu. Model sport tourer dengan enjin boxer ini menawarkan pengendalian yang jitu tidak kira menunggang di jalan-jalan berliku atau pun ketika memerah ke tahap maksimum di lebuhraya yang serba luas. Bahagian lampu utama jenis kembar diserikan lagi dengan adanya lampu running light LED yang memberikan pencahayaan cukup terang.
Enjin boxer yang bersesaran 1,170cc menawarkan kuasa maksimum yang setinggi 125hp dan tork 125Nm. Untuk disesuaikan dengan kuasa enjin yang mantap, BMW R 1200RS didatangkan dengan brek hadapan bersaiz 320mm dengan belakang 276mm. Dengan posisi tunggangan yang sempurna, sudut bar hendal yang selesa dan pengendalian yang tepat, pastinya model baru ini memberikan pengalaman menunggang yang cukup indah ke mana sahaja ia dibawa. R 1200RS ditawarkan pada harga RM101,900 termasuk GST. RR