Yamaha Tricity 125 2022: Lebih Gaya...Lebih Praktikal
Sejak diperkenalkan pada tahun 2014, model tiga tayar Yamaha Tricity telah menyerikan jalan-jalan di sekitar Eropah dengan rekabentuknya yang unik. Sehingga ke hari ini, Tricity merupakan satu-satunya model tiga tayar yang berada dalam pasaran jentera 125cc. Terkini, Yamaha Eropah telah menambah ciri-ciri menarik demi menjadikannya lebih praktikal dan menyeronokkan.
Untuk tahum 2022, Yamaha Tricity 125 telah disambungkan dengan sistem telefon pintar yang membolehkan para penunggang jentera ini menerima maklumat dan informasi penting di media sosial. Tricity 125 baru dilengkapi dengan enjin berpiawaian EURO5, direka dan dihasilkan dengan teknologi Blue Core yang terbukti dapat mengurangkan emisi dan pada masa yang sama mengekalkan tahap prestasi enjin.
Model baru ini dimantapkan dengan omboh jenis bertempa, kepala silinder yang direka serba baru, Injap kemasukan lebih besar dan peningkatan nisbah mampatan. Tricity 125 baru ini juga disempurnakan dengan sistem Yamaha's Variable Valve Actuation (VVA) yang memastikan pecutan bertambah baik.
Tricity 125 baharu dilengkapi dengan Unit Kawalan Penjana Permulaan atau Starter Generator Control Unit (SGCU) 32-bit yang menyepadukan sepenuhnya fungsi elektrik dan elektronik untuk enjin baru ini, termasuk proses penghantaran bahan api, penjanaan kuasa dan sistem Stop-and-Start untuk memastikan prestasi enjin yang lebih mesra alam.
Enjin yang dilengkapi dengan sistem Stop-and-Start ini direka untuk 'mematikan' enjin ketika berada di lampu isyarat dan akan kembali berputar sebaik sahaja pendikit dipulas. Ini akan membantu pergerakan enjin lebih lancar, senyap dan jimat petrol.
Model baru ini juga menampilkan sistem kawalan pengemudi yang sama dengan apa yang digunakan pada model Niken dan Tricity 300 iaitu LMW Ackermann yang telah dinaik taraf. Tricity 125 ini dilengkapi dengan Unified Brake System (UBS) yang beroperasi secara automatik untuk mengagihkan daya brek ke roda hadapan dan belakang setiap kali brek belakang digunakan.
Dengan memuat turun aplikasi Yamaha, MyRide secara percuma ke dalam telefon pintar, para pemilik dapat berhubung terus dengan skuter ini. Panggila masuk, media sosial, mesej dan email, semuanya akan dipaparkan pada panel meter Tricity 125.
Sebagai jentera mesra pengguna, Yamaha telah melengkapkan skuter ini dengan sistem kunci pintar yang sangat mudah untuk dibawa. Tricity 125 didatangkan dalam tiga warna baru iaitu Petrol Blue, Sand Grey dan Matt Grey. RR
Popular