WMOTO SX2-300: Jentera Lasak, Mantap & Mampu Milik
Satu berita yang baik untuk para peminat motosikal lasak atau scrambler apabila jenama motosikal tempatan, WMoto telah melancarkan model jentera lasak atau scrambler iaitu SX2-300 dengan harga jualan yang disyorkan pada RM18,888.00 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). Terdapat tiga pilihan warna iaitu merah, hitam dan putih. Model baru ini telah pun berada di pasaran dan anda boleh dapatkannya di mana-mana pengedar sah WMoto di seluruh Malaysia.
WMoto SX2-300 didatangkan dengan enjin bersesaran 292.4cc, silinder tunggal, 4 lejang dan mampu menawarkan hantaran kuasa setinggi 28hp pada 9,000rpm dan tork maksimum 25Nm pada 6,500rpm.
Ia juga dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan yang cukup lancar untuk memudahkan para pemiliknya menghadapi pelbagai jenis laluan ketika berada di litar off-road mahu pun di jalanan biasa. WMoto SX2-300 juga dimantapkan dengan penggunaan fork hadapan jenis dan penyerap tunggal di bahagian belakang yang berintensiti tinggi untuk daya respon lebih cekap.
Model scrambler ini turut dilengkapi dengan sistem brek jenis cakera + ABS untuk meningkatkan tahap keselamatan semasa menunggang. Walaupun secara lazimnya, motosikal kategori ini digunakan untuk kegunaan litar, para penunggang boleh memilih untuk nyahaktifkan sistem ABS itu dan aktifkan semula apabila menggunakan motosikal ini di atas jalan raya.
Di bahagian lampu pula, ia dilengkapi dengan lampu depan dan belakang gaya baru jenis LED yang jelas dan terang.
“Apa yang lebih penting, MForce sentiasa mengutamakan perkhidmatan selepas jualan seperti perkhidmatan waranti dan pembekalan alat ganti yang berterusan, terjamin, serta harga yang berpatutan”, kata Ketua Pegawai Operasi Mforce Bike Holdings, En. Asri Ahmad di acara Xtreme X-Road Ride di XPark Sendayan, semalam.
Dengan setiap pembelian WMoto SX2-300, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. RR
Popular