Brixton Motorcycles Tampil Dengan Rekabentuk Lebih Segar
Brixton Motorcycles mula diperkenalkan ke pasaran dunia kira-kira empat tahun yang lalu manakala di Malaysia pula pada tahun 2018. Jenama yang dilahirkan di Austria ini semakin berkembang pesat dan kini telah pun dipasarkan ke 50 buah negara di seluruh dunia. Dengan rekabentuk dan kualiti pembikinan yang mantap, jenama ini terus mendapat kepercayaan para pencinta motosikal.
Bertempat di Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA pada awal bulan November lepas, Brixton Motorcycles telah memperkenalkan beberapa buah model terbaru iaitu Crossfire 500, Crossfire 500 X, Crossfire 125 XS, Crossfire 125, Rayburn 125, Felsberg 250 dan Cromwell 250. Menerusi pelancaran ini, ia membuktikan kesediaan Brixton Motorcycles untuk memberi saingan dalam pasaran dua roda di seluruh dunia.
Siri Crossfire dikenali menerusi rekabentuk tangki yang digelar 'X Tank' dan semestinya posisi menunggang yang mantap. Kedua-dua model (Crossfire 500/500X) disempurnakan dengan enjin 500cc dengan piawaian Euro4, dua silinder, empat lejang, sistem penyejuk cecair yang menawarkan kuasa setinggi 35kW pada 8,500rpm. Rekabentuk lampu utama jenis LED lingkaran bulat yang disempurnakan dengan tulisan Brixton tampak cukup anggun.
Model Crossfire 500 diperkemaskan dengan sistem ekzos cukup mantap, pelindung tayar yang menarik serta posisi menunggang yang natural. Untuk prestasi mantap di setiap masa, model ini didatangkan dengan tayar-tayar jenis Pirelli bersaiz 120/70-17 (depan) dan 160/60-17 (belakang), lampu-lampu LED, brek cakera jenis J.Juan, penyerap hentak KYB, panel meter digital dan sistem ABS.
Crossfire 500 X pula direka untuk pergerakan bebas penuh lincah di jalanan biasa dan di kotaraya. Skema warna dan corak grafik lebih garang manakala warna sistem ekzos dan posisi pelindung tayar juga berbeza dengan Crossfire 500. Antara ciri-ciri menarik lain yang dimilikinya ialah lampu-lampu LED, panel meter digital, sistem ABS dan enjin suntikan bahan api.
Terdapat dua buah model bersesaran lebih kecil turut diperkenalkan di bawah siri Crossfire iaitu Crossfire 125 XS dan Crossfire 125 yang dijangka akan memasuki pasaran dunia pada tahun 2020. Model XS memiliki karaktor seperti jentera minibike yang lengkap dengan tayar jenis knobby, 'X Tank' dan fork hadapan jenis panjang.
Model Crossfire 125 pula direka dengan gaya mesin jalanan yang kompak. Ia juga model pertama bersesaran 125cc dari Brixton yang didatangkan dengan enjin sejukan cecair. Jika dilihat pada model yang dipamerkan di EICMA, ia memiliki ciri-ciri luaran seperti model 500 seperti pelindung tayar, casis, lampu utama, rekabentuk pelana, panel meter dan sistem ekzos.
Para pengunjung amat tertarik dengan model Rayburn 125. Ia adalah sebuah jentera 125cc gaya retro yang dikemaskan dengan pelana tunggal jenis berspring, beg peralatan kulit, skima warna biru/coklat/hitam yang anggun dan posisi menunggang cukup mantap. Lampu-lampu yang dipasang pada model ini juga menggunakan konsep retro – memang cantik habis.
Felsberg 250 pula adalah sebuah model jalanan yang berenjin 249cc, satu silinder, empat lejang dengan sistem penyejuk udara. Model ini memiliki pelana setinggi 786mm yang empuk dan sesuai untuk semua jenis penunggang manakala bentuk sistem ekzosnya pula memang cukup unik. Model berpiawaian Euro4 ini menawarkan hantaran kuasa 13kW pada 7,500rpm dan tork 16.5Nm pada 6,500rpm. Untuk keselesaan penunggangnya, Felsberg ini didatangkan dengan fork hadapan jenis terbalik, brek-brek jenis cakera beserta sistem ABS dan lampu-lampu jenis LED.
Cromwell 250 merupakan sebuah model dengan rekabentuk klasik yang menawan hati. Walaupun begitu, enjin 250cc yang dimilikinya memang mantap. Dengan kekuatan 13kW pada 7,500rpm dan tubuh badan yang ramping, ia mampu bergerak tangkas di dalam kesesakan kota. Terdapat dua skima warna menarik menanti pemiliknya nanti iaitu Black Odyssey dan Clockwork Orange. Jika minat klasik… minat pecutan hebat... Cromwell adalah pilihannya!
Selepas kejayaan yang ditempa menerusi tiga model yang diperkenalkan pada tahun 2018 iaitu BX150, BX 150R dan B X 200X, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd selaku pengedar rasmi Brixton Motorcycles terus memastikan para pencinta motosikal di Malaysia memiliki pelbagai pilihan khususnya menerusi jenama ini. Model-model yang dilancarkan di EICMA akan memasuki pasaran negara pada tahun 2020 secara berperingkat. RR
Popular