Model 'Legend' Honda ST125 Dax Hidup Semula!
Selepas 41 tahun menyepi, model jentera mini yang dahulunya cukup popular di Jepun dan Eropah kini telah muncul kembali. Itulah dia Honda Dax yang baru sahaja diperkenalkan oleh Honda Eropah. Kemunculannya menambah lagi keceriaan barisan motosikal 'kecil' dari Honda yang terdiri dari Monkey dan MSX125 Grom.
Kalau kita lihat dari segi rekabentuknya, Honda masih mengekalkan konsep sama seperti model ST125 Dax yang dilancarkan ke pasaran Jepun pada tahun 1969 dulu tetapi dengan spesifikasi serta prestasi abad ke-21. Pengekalan rekabentuk retro ini adalah kerana Dax memang direka dengan memberi fokus untuk kelihatan unik dan lain daripada yang lain.
Model baru ini didatangkan dengan kerangka bentuk-T, pelana yang panjang, rekabentuk ekzos padu berwarna krom, tayar-tayar 12” yang gemuk (seperti Honda Grom), lampu LED bulat (depan & belakang), panel meter LCD bulat dan tempat pemegang krom (pemboncang) yang memberikan imej retro seperti model-model sebelum ini.
Dengan berat hanya 107kg dan pelana yang setinggi 775mm menjadikannya seronok ditunggang oleh sesiapa saja, memang Honda mahu pemilik Dax ini sentiasa 'fun'. Jentera comel ini didatangkan dengan enjin 124cc, sistem sejukan udara, SOHC, 2-injap untuk hantara kuasa setinggi 6.9kW pada 7,000rpm dan tork 10.8Nm pada 5,000rpm. Prestasi enjin jentera 4 gear ini juga menawarkan kelajuan maksimum sehingga 90km/j.
Jika lihat pada sisi kiri, terdapat kotak udara berbentuk bujur, penapis dan tiub penyambung bagi memastikan laluan udara lebih lancar. Tangkinya yang sebesar 3.8 liter dapat membawa kita menikmati pelbagai jenis perjalanan dalam lingkungan 240 kilometer. Dax disempurnakan dengan brek hadapan jenis cakera hidraulik bersaiz 220mm (depan) dan 190 di belakang yang kedua-dua disertakan dengan sistem ABS.
Memang rare model ini dan cukup popular di Jepun khususnya. Agak-agaknya, di Malaysia ada tak peminat jentera macam Honda Dax ini? RR
Popular