Suzuki Malaysia Lancar GSX-R150, GSX-S150 dan Raider R150 Fi
Sudah lama benar kita nantikan Suzuki Malaysia memperkenalkan model-model jalanan yang berkuasa 150cc dan akhirnya 'doa kita' dimakbulkan apabila pihak Suzuki Malaysia telah melancarkan bukan satu tetapi tiga model baru iaitu Suzuki GSX-R150, GSX-S150 dan Raider R150 Fi. Suzuki Malaysia menyasarkan ketiga-tiga model ini buat para pencinta motosikal lebih muda yang inginkan jentera harian mereka dilengkapi dengan teknologi terkini, ringan dan berprestasi tinggi.
Suzuki GSX-R250: Model supersport ini ditawarkan dalam dua warna iaitu Metallic Titan Blue (YSF) dengan rekacorak jentera MotoGP seperti mana yang digunakan pada jentera milik Joan Mir/Alex Rins dan satu lagi ialah Stronger Red/Titan Black.
Rekabentuk luarannya cukup sporty, padu, nampak laju dengan posisi menunggang yang mantap. Enjin twincam 4 injap, DOHC, 4 lejang, sistem penyejuk cecair menawarkan hantaran kuasa setinggi 14.1kW pada 10,500rpm dan tork 14Nm pada 9,000rpm. Ini memboleh jentera sport ini dapat kita memecut ke hadapan dengan lancar sekali.
GSX-R150 ini juga dilengkapkan dengan sistem kunci pintar (keyless), lampu-lampu LED, sistem ekzos berprestasi tinggi dan Suzuki Easy Start System seperti mana yang dimiliki oleh jentera-jentera Suzuki berkuasa tinggi. Panel meter digital memastikan penunggang jentera ini dapat melihat setiap info dengan jelas tanpa perlu menggunakan banyak masa.
Untuk tunggangan yang lebih menyakinkan, Suzuki turut melengkapkan model baru ini dengan brek cakera jenis berkelopak bersaiz 290mm (depan) dan 187mm di belakang. Harga untuk model ini ialah RM11,329 (tanpa cukai jalan dan insurans).
GSX-S150 pula merupakan model 'naked' yang berkongsikan spesifikasi enjin yang sama seperti model sport, GSX-R150. Model jalanan/naked dari Suzuki ini memang sesuai buat mereka yang ingin bersantai, kegunaan harian dan juga merentasi pelbagai destinasi menarik di hujung-hujung minggu.
Posisi menunggangnya yang tegak dan natural membolehkan kita menikmati perjalanan dengan selesa. Enjin 147cc ini mempunyai spesifikasi sama seperti model GSX-R kecuali ia tidak dilengkapkan dengan kunci pintar (keyless) tetapi diganti dengan kunci baru 'Shutter Key System' dan turut dikemaskan dengan adanya Suzuki Easy Start System. GSX-S150 ditawarkan pada harga asas RM10,289 dengan dua pilihan warna iaitu Aura Yellow/Pearl Brilliant White dan Metallic Titan Blue.
Akhirnya...yang ditunggu-tunggu. Suzuki Raider R150 Fi yang ditawarkan pada harga RM8,173. Ada dua pilihan warna iaitu Titan Black dan Metallic Mat Stellar Blue/Titan Black. Pencabar baru segmen moped ini disempurnakan dengan enjin bucket-tappet, 4 injap, DOHC, 4 injap, sistem penyejuk cecair yang memiliki kuasa hantaran 13.6kW pada 10,500rpm dan tork 13.8Nm pada 8,500rpm.
Jentera ini juga disalut dengan Suzuki Composite Electrochemical Material (SCEM) yang bertujuan untuk melindungi penunggang daripada deformasi haba serta mengurangkan geseran. Bahan ini turut digunakan pada model-model Suzuki berkuasa tinggi.
Raider R150 Fi disempurnakan dengan lampu-lampu LED, lampu nombor pendaftaran juga jenis LED, sistem penghidup mudah atau Suzuki Easy Start System dan panel meter digital moden.
Paling menarik ialah ruang simpanan barang bersaiz sederhana yang direka pada bahagian tengah motosikal ini. Muat untuk kita letakkan dompet, telefon pintar, sistem pengecas dan lain-lain.
Ketiga-tiga model baru ini akan mula berada di bilik pameran para pengedar sah Suzuki tidak lama lagi. RR
Popular