Honda X-ADV Edisi Mat Ballistic Black Metallic Dilancarkan.
Selepas mengemas kini secara menyeluruh pada 2021 dengan enjin lebih berkuasa dan pengurangan berat badan, model popular honda X-ADV 2022 kini boleh dimiliki dalam warna kontemporari serba baru iaitu Mat Ballistic Black Metallic.
X-ADV merupakan sebuah jentera gabungan pengembaraan moden, teknologi dan reka bentuk yang sempurna. Model lasak ini menampilkan enjin 4 lejang, 745cc dengan sistem penyejuk cecair, SOHC 8 injap, 2 silinder dengan 6 kelajuan Dual-Clutch Transmission (DCT). Model mantap ini memiliki 'jantung' yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 43kW pada 6,750rpm dan tork 69Nm pada 4,750rpm.
Dengan adanya sistem Throttle By Wire (TBW), model ini menawarkan enjin yang boleh ditala kepada 4 mod tunggangan seperti Standard, Sport, Rain, Gravel dan User. Ia membolehkan sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) beroperasi dengan lancar. Sistem Dual Clutch Transmission (DCT) pula menawarkan operasi penukaran gear dilakukan secara automatik mengikut tahap putaran enjin.
X-ADV didatangkan dengan sistem Honda Smartphone Voice Control (HSVCS*1) yang membolehkan penunggang membuat penyambungan di antara motosikal dan telefon pintar masing-masing. Dengan adanya sistem ini, kita dapat menerima panggilan telefon, mesej, mendengar alunan muzik dan navigasi untuk ke satu-satu destinasi. Sistem bluetooth dan set audio topi keledar diperlukan untuk tujuan ini.
Jentera unik ini dilengkapkan dengan lampu hadapan LED berkembar beserta Daytime Running Lights (DRL) yang melaraskan secara automatik bergantung kepada tahap cahaya persekitaran. Skrin pengadang angin X-ADV boleh dilaras kepada 5 ketinggian manakala ruang penyimpanan 22 liter bawah tempat duduk mampu menempatkan topi keledar, barangan bersaiz sederhana dan pot pengecasan USB. X-ADV juga disempurnakan dengan Kunci Pintar, yang boleh kita gunakan untuk menghidupkan enjin, membuka cap bahan api dan membuka tempat duduk.
Sistem brek cakera hadapan dan belakang dilengkapi dengan sistem Brek Anti-Kunci (ABS), fork hadapan jenis terbalik 41mm, Lengan Ayun Pro-link dan Emergency Stop Signal (ESS) untuk membantu jadikan perjalanan yang lebih selamat dan selesa.
Honda X-ADV 2022 boleh didapati dalam Mat Ballistic Black Metallic, Pearl Deep Mud Grey dan Grand Prix Red di semua pengedar Honda BigWing pada harga RM 67,799.
*1 HSVCS rmemerlukan penggunaan telefon pintar jenis Smartphone atau Android dengan versi 8.0 dan lebih tinggi. Sistem set audio telinga perlu versi 4.2 atau lebih tinggi dan semuanya boleh diakses dengan aplikasi Honda Road Sync di Google Play Store. RR
Popular