WMoto Lancarkan Model Terbaru F15 Yang Penuh Gaya
WMoto telah melancarkan sebuah moped serba baru iaitu F15 yang hadir dengan konsep Ekonomi, Jentera Tunggangan Harian dan Mampu Milik.
Menurut Pengurus Operasi Mforce Bike Holdings Sdn Bhd, En. Asri Ahmad, WMoto F15 sememangnya disasarkan untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan jantina kerana spesifikasi yang cukup sesuai.
Model yang memiliki rekabentuk sporty ini didatangkan dengan enjin 149.2cc, empat lejang, sistem penyejuk udara dengan kuasa maksimum 10.5hp pada 7,000rpm dan tork 11Nm pada 8,000rpm. F15 menggunakan sistem transmisi 5 kelajuan dan dikawal dengan adanya sistem brek cakera mantap bersaiz 290mm di depan dan 190mm di belakang.
Moped baru dari WMoto ini juga berpiawaian Euro 4 yang disempurnakan dengan lampu utama LED dwi-lapisan (atas untuk lampu rendah manakala bawah untuk lampu tinggi). Selain itu bahagian hadapan turut dikemaskan dengan adanya lampu Daytime Running Light (DRL).
Panel meter F15 menggabungkan sistem analog dan digital yang memaparkan tahap kelajuan, tahap bahan api dan jarak perjalanan. Menerusi panel meter ini juga, para pemilik F15 dapat melihat paras bateri motosikal dan cukup bagus khususnya sebagai langkah berjaga-jaga.
Dengan tubuh badan yang ramping, berat hanya 118kg dan saiz bahan api sebesar 5.5 liter, F15 menjanjikan lebih kilometer untuk perjalanan yang menyakinkan. Terdapat tiga warna menarik iaitu Hijau, Biru, Turquoise dan ditawarkan pada harga RM5,999 (tanpa insurans, pendaftaran dan cukai jalan).
Dengan setiap pembelian, para pelanggan akan menerima jaminan pengeluar selama 2 tahun atau 20,000 km perjalanan (yang mana terdahulu) dan perkhidmatan alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn Bhd. RR
Popular