Aprilia SR GT 125 & SR GT 200 - Skuter Urban Adventure
Selain memperkenalan model-model untuk tahun 2022, Aprilia juga tidak melepaskan peluang untuk melancarkan skuter Adventure mereka iaitu Aprilia SR GT di Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA 2021 di Milan. Terdapat dua varian yang diperkenalkan antaranya Aprilia SR GT 125 dan Aprilia SR GT 200.
Aprilia SR GT merupakan skuter pertama “Urban Adventure” yang dibangunkan oleh Aprilia untuk menawarkan keseronokan apabila menunggang di dalam kawasan bandar, bersiar-siar dan untuk jarak perjalanan jauh.
SR GT 125 didatangkan dengan enjin i-get yang bersesaran 125cc dan silinder tunggal. Jentera ini mempunyai kuasa maksimum 11kW (14.75hp) pada 8,750rpm manakala tork 12Nm pada 6,500rpm. Sementara itu, SR GT 200 pula menggunakan enjin i-get 200cc dengan silinder tunggal yang menawarkan kuasa maksimum 13kW (17.43hp) pada 8,500rpm dan tork 16.5Nm pada 7,000rpm.
Sistem saspensi pada model-model ini menggunakan fork hadapan jenis Showa 33mm dengan jarak 102mm. Manakala di bahagian belakang disempurnakan dengan penyerap hentak berkembar boleh laras. Proses berhenti lebih meyakinkan dengan penggunaan brek-brek jenis cakera 260mm (depan) dan 220mm (belakang).
SR GT turut dilengkapi dengan sistem Start & Stop yang dikenali sebagai RISS (Regulator Inverter Start & Stop System), dikatakan lebih tahan lama, senyap dan penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan. Sistem Stop & Start pada model ini akan mematikan pergerakan enjin secara automatik sekitar 1 hingga 5 saat apabila jentera berhenti. Enjin akan kembali hidup dengan senyap sebaik sahaja penunggang mula memulas pendikit sedikit.
Antara ciri-ciri lain yang terdapat pada SR GT adalah seperti berikut:
- Berat 144kg (SR GT 125)
- Berat 148kg (SR GT 200)
- Tayar hadapan 110/80 - 14
- Tayar belakang 130/70 - 13
- Lampu-lampu LED penuh
- Paparan meter LCD dengan sistem MIA Aprilia untuk berhubung dengan telefon pintar
- Ruang simpanan bawah pelana seluas 25 liter
Popular