Projek Jentera Konsep - White Motorcycle WMC250EV
Pada 23 Jun 2021, bertempat di Litar GP Silverstone, model terbaru dari Great Britian telah diperkenalkan untuk memecahkan Rekod World Land Speed dalam kategori Motosikal Separa Elektrik (Partially Streamlined Electric) dengan keberatan 300kg dan ke atas. Rekod tersebut kini dipegang oleh Juara Dunia Lima Kali iaitu Max Biaggi pada bulan November lalu di lapangan terbang Chateauroux di Perancis.
Pelumba yang berasal dari Itali itu telah berjaya melakukan 11 rekod baru FIM World dengan menunggang Voxan Wattman dengan kelajuan 394.45 km/j (245.10 bsj) untuk jarak seperempat batu dengan kelajuan sehala terpantas 408 km/j [253 bsj]. Rekod baru Max untuk jarak satu batu atau 1.6 kilometer ialah 366.94 km/jam (228.00 bsj).
Jentera yang akan cuba memecahkan rekod Biaggi ini dikeluarkan oleh syarikat White Motorcycle Concepts yang diketuai oleh Robert White yang juga merupakan salah satu pencabar rekod kelajuan bersama Suzuki Hayabusa miliknya yang telah pun ditala semula. Tetapi, motosikal tersebut menggunakan enjin dengan bahan api petrol sedangkan motosikal ciptaan White berenjin elektrik sepenuhnya.
Ketika merekacipta jentera ini, dia telah membuat format aerodinamik serba baru dengan cara meminimumkan ruang berbanding enjin jenis pembakaran. Walaupun menggunakan kuasa bateri, ia akan direka dengan ideal agar dapat memaksimakan tahap aerodinamik.
White, 40 tahun merupakan bekas juruteknik pembangunan pasukan perlumbaan Formula 1 yang pernah bertugas bersama pasukan R&D McLaren F1 ketika bermulanya era Hybrid V6. Ketika melibatkan diri dengan enjin elektrik, dia juga pernah berkhidmat sebagai juruteknik untuk enjin Jenson Button. Apabila keluarga semakin bertambah, ia telah menyebabkan Ron untuk meninggalkan dunia F1 dan menyambung kariernya di syarikat yang berdekatan dengan rumahnya di UK’s Motorsports Valley.
Dia lebih dekat dengan kejuruteraan enjin berprestasi tinggi dan pakar perlumbaan. White juga diberi tanggungjawab untuk mengawasi jabatan juruteknik yang melaksanakan projek penting termasuklah EV berprestasi tinggi, produk sektor automotif dan rakan niaga Ray Mallock Ltd (RML) dan beberapa syarikat OEM global.
Seperti mana kebanyakan kakitangan di lapangan F1 dan syarikat satelit motorsport, White juga peminat motosikal. Enam tahun sebelum menyertai RML, dia telah pun memikirkan konsep aerodinamik yang boleh disepadankan dengan motosikal.
“Ketika datuk saya meninggal, dia tinggalkan saya dengan £2,000 dan saya betul-betul inginkan mesin ‘milling’ untuk memulakan pembinaan motosikal aerodinamik menggunakan enjin motosikal silinder tunggal Yamaha,” kata Rob.
Saya pergi berjumpa dengan CEO RML, Michael Mallock dan nyatakan hasrat saya untuk meneruskan rancangan saya. Saya mahukan idea ini dipatenkan. Saya juga ingin tahu sama ada keputusan itu disokong atau adakah saya perlu lupakan perniagaan ini? Hal ini terus senyap berminggu-minggu dan saya sendiri memiliki perancangan untuk tinggalkan RML dan mahukan pekerjaan yang memberikan saya lebih kebebasan untuk mengejar impian selama ini.
“Kemudian saya dipanggil kembali oleh Michael untuk ke pejabat dan memberikan surat daripada peguam syarikat yang mengatakan bahawa saya bebas untuk memenuhi minat saya. Mereka sedia menyokong saya dalam perkembangan karier peribadi saya. Lebih mengujakan apabila mereka memperkenalkan saya dengan peguam paten RML di London dengan harga perkhidmatan yang sungguh istimewa! Jadi selepas itu saya terus berkhidmat dengan RML dan meneruskan projek ini pada masa lapang."
“Apabila projek semakin berkembang dengan adanya lukisan konsep yang dihantar pada Rob Lewis di TotalSim yang sememangnya pakar aerodinamik. Dia yang cukup sukakan projek saya dan telah melakukan penyelidikan dengan percuma konsepnya. Hasilnya kami dapat mengurangkan kuasa tarikan sebanyak 30% dengan penggunaan Hayabusa sebagai tanda aras.
Pada April 2018 maka lahirlah White Motorcycle Concepts dan telah menghantar permohonan yang bertujuan untuk mendapatkan paten dan UK Government-backed Niche Vehicle Network Grand yang disokong oleh Ibu Pejabat Low Emission Vehicles and Innovate UK. Apa yang diimpikan selama ini telah berjaya. Selepas itu saya terus berjumpa Michael dan nyatakan niat untuk memulakan langkah baru.
“Saya sekarang sudah memiliki wang untuk meneruskan minat dan ingin lakukannya sendiri. Michael menerimanya dengan baik dan tidak ragu-ragu untuk membantu saya dari segi pembangunan perniagaan.”
Sejak itu Rob White mulakan projek syarikat miliknya sendiri dengan menghasilkan motosikal E-LSR dengan kod nama Project WMC250EV. Dia menerima sokongan daripada pelbagai persatuan dan syarikat untuk merealisasikan perancangan sendiri. Dalam masa yang sama White juga mencipta aplikasi komersial untuk teknologi yang dipatenkan, ia cukup inovatif dan efektif. Dia telah pun mempunyai seorang pelanggan berprofil tinggi yang akan didedahkan tahun hadapan.
“Sokongan yang saya dapat daripada Niche Vehicle Network membolehkan saya membentuk sebuah konsortium untuk memajukan projek tersebut dengan kerjasama Ace Composites untuk melakukan kerja-kerja berkaitan gentian karbon, TotalSim pula untuk pembangunan aerodinamik manakala RML Group pula dalam pelaksanaan enjin EV.”
Kolaborasi ini berjaya menghasilkan casis dengan pengemudi hub-tengah yang lengkap termasuklah tapak roda 1,800mm yang direka dengan teliti untuk kesesuaian Rob White, setinggi 6’2” yang mengenakan sut menunggang Kushitani yang direka khas untuk laluan udara dengan lebih efisien.
“Untuk jentera semi-streamliner seperti ini, kira-kira 25 hingga 30% permukaan motosikal itu terdiri daripada penunggang itu sendiri dan untuk tujuan itu, rekaan aerodnamik yang dapat menempatkan penunggang dengan sempurna amat penting.”
Rekabentuk luaran WMC250EV direka oleh John Keogh yang merupakan bekas perekacipta jentera Erik Buell – telah pun melalui fasa ujian terowong udara di MIRA. Hasil ujian itu sememangnya amat positif dan menunjukkan rekaan White ini 69% lebih bagus daripada Hayabusa miliknya.
Model konsep Stage 1 ini telah dikeluarkan dan diuji di kawasan lapangan terbang Elvington dengan kelajuan maksimum 320km/j. Inilah motosikal yang diperkenalkan di litar Silverstone tempohari. Model ini membawa empat enjin elektrik 60V yang menawarkan kekuatan 100kW iaitu 20kW pada tayar hadapan manakala dua lagi enjin 30kW di bahagian belakang.
Inovasi enjin yang bergerak secara serentak untuk model prototaip ini dibekalkan oleh Hacker, syarikat dari Jerman yang berpengkalan di Munich. Hasil ciptaan ini membolehkan dua enjin dipasangkan ke dalam bahagian depan dua rim aluminium Dymag 17 inci buatan khas bersaiz 3.50 inci (depan) dan 5.50 ini (belakang). Tayar-tayar jentera ini juga dilengkapkan dengan brek cakera 340mm yang dihasilkan khas untuk White EV oleh EBC.
Walaupun saiznya seperti terlebih besar, ia amat diperlukan untuk memberhentikan jentera seberat 300kg ini dari kelajuan 200bsj/320km/j dengan cepat. Saspensi di kedua-dua bahagian dilengkapkan pula dengan peredam jenis Multimatic seperti mana yang digunakan oleh beberapa kereta perlumbaan F1. Sudut putaran jentera ini hanya 15° - ia bukan motosikal yang dicipta dan dibawa ke laluan berselekoh.
Pek bateri lithium-ion berbentuk silinder juga datangnya dari S-Moto, Jerman. Terdapat lapan bateri yang digunakan pada motosikal ini, lima dipasang secara menegak dan tiga lagi secara mendatar dengan berat setiap satu 11kg – jadi, jumlah berat untuk pek bateri sahaja mencecah 88kg.
“Ini adalah sebuah model konsep yang memboleh kami lakukan banyak ujian asas khususnya dari segi rekaan aerodinamik. Apa pun, dengan kekuatan enjin 100kW, kami berjaya rasakan kestabilan jentera elektrik ini mencapai kelajuan yang menakjubkan. Namun begitu, jika ingin mencipta rekod dunia baru (lebih 250bsj), kami perlu kuasanya ditingkatkan kepada 300kW.”
Sesi ujian versi Stage 1 sedang dijadualkan pada tahun ini dan bergantung kepada kelancaran proses dan tahap kewangan. Robert White ingin mencabar rekod-rekod sebelum ini dengan mencipta jentera WMC250EV bervoltan tinggi dan akan memecut di ‘litar’ flat garam terbesar di dunia iaitu Salar de Uyuni di Bolivia, pada bulan Ogos 2023. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: White Motorcycle Concepts
Popular