Harley-Davidson Perkenal Sportster S ke Pasaran Malaysia
Harley-Davidson telah mengumumkan ketibaan jentera sport custom terbaru, Sportster S ke pasaran negara. Model baru ini direka untuk menawarkan prestasi yang luar biasa serta memberikan pengalaman menunggang yang hebat.
Sportster S baru ini hadir dengan enjin Revolution Max 1250T V-kembar berkuasa 121hp yang turut disempurnakan dengan teknologi moden seperti panel meter TFT 4.0 inci, Mod Tunggangan (Sport, Road dan Rain), sistem sambungan Bluetooth, Cornering Enhanced Antilock Braking System (C-ABS), Cornering Enhanced Traction Control System (C-TCS), dan Cruise Control.
Kemantapan prestasi tunggangan H-D Sportster S datangnya dari kerangka trellis aloi yang ringan, sistem saspensi premium dan pakej sistem brek cukup cemerlang (depan: cakera 320mm dengan angkup Brembo, belakang: cakera 260mm dengan angkup Brembo).
Menerusi sistem ekzos 2-1-2 yang dipadankan pada jentera ini, Sportster S bukan sahaja memiliki 'suara' yang cukup padu tetapi juga menjadikan rekabentuk sisi kanannya sangat menarik. Model ini ditawarkan pada harga RM92,900 dan boleh dipilih dalam tiga pilihan warba menarik iaitu Vivid Black, Stone Washed White Pearl dan Midnight Crimson.
Pada hari pelancarannya yang diadakan di Genting Highlands, para wartawan turut diberi peluang untuk merasai sendiri prestasi tunggangan jentera ini bersama-sama model pengembaraan pertama dari Harley-Davidson iaitu Pan America.
Dalam perjalanan yang agak singkat itu, dapatlah kami kongsikan beberapa info menarik antaranya ialah, posisi menunggang agak santai tetapi jika diberi pilihan, kami lebih suka jika posisi tempat pemijak diletakkan di bahagian tengah berbanding di hadapan.
Sistem saspensi (depan dan belakang) yang dimantapkan dengan sistem Cornening ABS membantu kita untuk masuk/keluar selekoh dengan selamat. Walaupun begitu, kami perlu lebih masa untuk menyesuaikan diri khususnya dari segi kawalan serta posisi badan untuk berada di laluan berselekoh tajam.
Apabila berhenti, terasa juga bahang panas dari sistem ekzos H-D ini tetapi ia tidaklah mengganggu. Dengan kuasa setinggi 121hp pada 7,500rpm dan tork 127Nm pada 9,000rpm, memecut jentera ini di laluan mendaki cukup mengujakan. Paling seronok apabila kuasanya hadir dengan tepat setiap kali pendikit dikoyak dan dengan adanya sistem elektronik moden, pergerakan kita akan lebih terjamin walaupun di laluan apa sekali pun.
Sayangnya belum sempat menyesuaikan diri...belum puas bermain-main, kami dah sampai ke check point untuk menukar motosikal. Harapnya akan ada peluang lain nanti.
Kami melompat pula ke atas H-D Pan Amerika di tawarkan dalam dua versi iaitu Standard dan Special. Kedua-duanya disempurnakan dengan enjin 1,250cc sistem penyejuk cecair, v-kembar berkuasa 150hp yang cukup betenaga. Seperti kebanyakan model-model kembara moden, Pan America juga menawarkan sistem elektronik canggih yang memastikan setiap perjalanan bersamanya memberikan kenangan manis. Memang betul!
Antara ciri-ciri menarik ialah sistem Mod Tunggangan, Cruise Control, Traction Control, Cornering Rider Safety Enhances, panel meter TFT Touchscreen, Cornering Enhanced Drag-Torque Slip Control System, Hill Hold Control dan paling kami suka ialah Adaptive Ride Height (ARH). ARH merupakan sistem saspensi yang inovatif – ia akan merendahkan kedudukan motosikal apabila kita berhenti dan kembali tinggi apabila kelajuan mencecah 30km/j.
Apa yang dapat kami kongsikan ialah, membuat miringan dalam selekoh-selekoh tajam amat memuaskan hati, kita dapat membaringkannya jentera seberat 245kg tanpa ragu-ragu. Sempat juga menukar mod tunggangan dari Road ke Sport yang ternyata memberikan karaktor cukup berbeza. Lebih ummph!
Pan America dijual pada harg RM99,900 untuk versi standard dan RM115,900 untuk versi Special. RR
Popular