Honda CBR150R Secara Rasmi Dilancarkan – RM12,499
Boon Siew Honda (BSH) secara rasminya memperkenalkan sebuah model terbaru mereka iaitu Honda CBR150R. Dibina dengan konsep CBR “Total Control”, model ini menawarkan rekabentuk seakan jentera berkuasa tinggi, agresif, trend terkini dan pelbagai ciri berteknologi tinggi.
CBR150R dijana dengan enjin bersesaran 149.2cc, silinder tunggal, DOHC dengan sistem penyejuk cecair. Jentera bertransmisi 6 kelajuan ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 12.0kW pada 9,000rpm dan tork 13.7Nm pada 7,000rpm. Model ini juga turut disempurnakan dengan sistem klac jenis Assist & Slipper.
Di bahagian hadapan diperkemaskan dengan sepasang lampu utama jenis LED penuh dan dwi-lampu LED dengan bentuk agresif yang diinspirasikan daripada model CBR250RR. Untuk keselamatan, jentera sportbike ini disempurnakan dengan penggunaan brek jenis cakera di bahagian hadapan dan belakang.
CBR150R turut tampil dengan ciri-ciri keselamatan tambahan seperti sistem ABS dwi-saluran dan sistem Emergency Stop Signal (ESS). ESS akan aktif secara automatik apabila membrek dengan mengejut untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya di belakang agar dapat mengelakkan kemalangan berlaku.
Pengendalian yang lincah serta memberikan kestabilan ketika menunggang dalam kelajuan tinggi juga disumbangkan oleh saspensi hadapan jenis terbalik dan lengan ayun dengan Monoshock Pro-Link. Selain itu, posisi tunggangan yang sporty serta fairing hadapan penuh menyerlahkan lagi gaya perlumbaan.
Antara ciri-ciri lain yang terdapat pada CBR150R adalah paparan meter digital, tangki bahan api 12 liter, lampu belakang LED, kerangka jenis Diamond dan sistem suntikan bahan api PGM-Fi.
Honda CBR150R didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu Mat Charcoal Gray Metallic dan Candy Scintillate Red. Model ini boleh dimiliki pada harga RM12,499 (tanpa cukai jalan, insurans & pendaftaran). Pemilik jentera ini akan menerima waranti selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu).
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Honda CBR150R, boleh mengunjungi pengedar Honda atau menghubungi talian Bebas Honda di 1-800-88-3993 ataupun layari http://www.boonsiewhonda.com.my. RR
Popular